NGO desak polis segera perangi pusat judi haram di Ampang

NGO desak polis segera perangi pusat judi haram di Ampang

NGO terbabit mendakwa sudah serah bukti pusat perjudian dimiliki seseorang bergelar 'Datuk Seri' kepada polis.

JMM

AMPANG:
Jaringan Melayu Malaysia hari ini, menyerahkan bukti kewujudan kira-kira 20 pusat judi haram yang beroperasi di sini, yang didakwa milik seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, JMM telah mengarahkan ahli-ahlinya untuk ke premis-premis yang didakwa memiliki mesin judi slot bagi mengumpul bahan bukti sejak Nov tahun lalu.

“Seorang lelaki Cina yang digelar ‘Datuk Seri’ memegang pusat perjudian di Ampang. Kami tidak boleh dedahkan namanya kepada media buat masa ini.

“Pusat perjudian juga ada di pusat membeli belah dan berhampiran klinik di sini, tidak jauh dari balai polis. Hari ini kita serahkan bukti, biar polis menjalankan siasatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau juga mendakwa beberapa laporan polis yang dibuat di Ampang dan Pandan baru-baru ini tidak dilayan.

“Masyarakat sudah mula jemu dengan pihak berkuasa yang seolah-olah dilihat berdiam diri,” katanya.

Azwanddin turut menggesa Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya prihatin dengan masalah itu, lebih-lebih lagi beliau sendiri tinggal di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Hamzah Alias mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada NGO berkenaan.

Katanya, polis masih belum dapat mengesahkan mana-mana individu secara spesifik dalam aktiviti perjudian di sini, kerana pemeriksaan mendapati premis perjudian terbabit dijalankan oleh individu berbeza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.