Mentaliti masyarakat Malaysia suka cari kesalahan orang lain – TMJ

Mentaliti masyarakat Malaysia suka cari kesalahan orang lain – TMJ

Mereka bukannya memberikan kredit kepada yang ingin berubah dan bergerak maju ke hadapan.

TMJ

PETALING JAYA :
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim melihat mentaliti masyarakat Malaysia kebiasaannya lebih berminat untuk mencari kesalahan orang lain, bukannya memberikan kredit kepada mereka yang ingin berubah dan bergerak maju ke hadapan.

Menurut baginda, pelancaran asal jersi pasukan Johor Darul Takzim (JDT) adalah untuk menggunakan konsep video dan membuat penggambaran di sebuah pulau di Johor yang menampilkan bot pasukan itu, tetapi bot terbabit sedang diselenggara dan tidak dapat digunakan.

“Pasukan produksi kemudiannya mencadangkan agar menukar ke lokasi yang lain iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan saya bersetuju.

“Saya mahukan pelancaran jersi kami berbeza daripada yang pernah dilakukan sebelum ini, yang mana pasukan- pasukan lain menggunakan pemain naik ke pentas di hotel atau pusat membeli-belah. Saya mahu pelancaran jersi JDT kali ini lebih gemilang,” katanya.

Baginda berkata demikian menerusi satu wawancara ekslusif yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers mengenai isu iklan JDT meniru iklan Nike dari Brazil pada tahun 1998.

Tunku Ismail turut mengakui perkembangan yang berlaku terhadap JDT pada masa kini adalah hasil pemerhatian dan pembelajaran dari semua negara yang jauh ke hadapan Malaysia.

“Malangnya, apabila saya melihat orang-orang yang tidak senang dengan JDT, semua yang saya lakukan dipersoalkan, dikritik dan seolah-olah ianya satu isu yang sangat besar.

“Bagaimana anda langsung tidak bersuara apabila Terengganu meniru bilik persalinan kami? Anda tidak pula jadikan isu apabila pasukan mula meletakkan logo besar di belakang bas mereka.

“Pasukan lain juga meletakkan ‘seat bucket’ di bangku pemain mereka seperti mana kami lakukan semenjak 2013. Saya juga mula menggunakan ‘LED board’ dan kini beberapa pasukan juga mula meniru,” katanya.

Menurut Tunku Ismail, JDT menjadi peneraju dalam tanah air, mengambil pelbagai idea dari banyak negara dan idea pasukan itu pula ditiru oleh banyak pasukan lain di negara ini.

“Dan sepanjang pengetahuan saya, harta intelek adalah seperti lirik, logo, rekagrafik dan muzik. Belum pernah saya dengar visual atau idea dihadkan oleh hakcipta. Semua ini tidak pula dijadikan isu,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.