Suasana Pasar Borong Selayang sepi

Suasana Pasar Borong Selayang sepi

Orang ramai masih lagi takut untuk pergi kesana susulan kejadian tembak dan bunuh yang berlaku.

pasar-borong

SELAYANG:
Suasana Pasar Borong Selayang sepi tanpa kehadiran pengunjung, susulan dua kejadian tembakan rambang dan bunuh yang berlaku Rabu lalu.

Krew FMT turun ke tempat kejadian hari ini dan mendapati rata-rata mereka yang berada disana hanya peniaga dan pekerja mereka.

Jelas, pasar yang sebelum ini meriah dengan kehadiran pengunjung dari segenap pelusuk bandaraya Kuala Lumpur dan Selangor seolah dicengkam perasaan takut. Peniaga yang ditemui juga enggan wajah mereka dirakam kerana bimbang diburu samseng.

“Tiga hari ini perniagaan kami banyak rugi, ramai orang tidak mahu datang, malah jumlah pembeli yang datang menurun sehingga 80 peratus. Kamu tengok keadaan pasar ini hari boleh main bola (merujuk kepada suasana pasar yang kekurangan pengunjung),” kata Habil, yang hanya mahu dikenali dengan nama itu.

Di bahagian lain pasar itu, Hoe Chin mengalami kerugian lebih RM2000 setiap hari sejak tiga hari lepas.

“Saya harap semua pihak berhenti bergaduh, kerana perkara itu tidak ada guna. Kamu tengok bila kamu bergaduh nak cari makan pun tidak boleh, orang ramai takut mahu datang,” katanya.

Wong Mei turut mengeluh kerana ramai pekerjanya dalam keadaan trauma.

“Macam mana mahu buat kerja, pekerja tidak mahu datang, kerana takut, orang ramai pun tak mahu datang,” katanya.

Pemerhatian FMT juga mendapati anggota polis membuat kawalan ketat di semua pintu masuk berdekatan kawasan pasar sejak tiga hari lalu. Peniaga berharap kehadiran polis akan menjamin suasana selamat, bebas dari samseng yang mengganas, dan mengembalikan keyakinan pengunjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.