
Menteri Kesihatan dan Presiden MIC, Dr S Subramaniam berkata, keputusan itu dibuat oleh Kabinet pada Rabu dan Perdana Menteri, Najib Razak juga turut memberi jaminan bahawa beliau mahu mencari penyelesaian kepada masalah ini.
Struktur keluarga sesebuah perkahwinan sivil antara dua orang bukan Islam dan anak-anak mereka tidak boleh terganggu kerana isu penukaran agama.
“Apabila seseorang memilih untuk menukar agama, apa-apa isu yang berkaitan dengannya harus diselesaikan dalam lingkungan kuasa mahkamah sivil. Inilah prinsip kami (kabinet),” katanya ketika ditemui dalam majlis sambutan Ponggal di Batu Caves semalam, menurut Malaysiakini.
Kenyataan Subramaniam merujuk kepada kes Indira Gandi yang mana bekas suaminya K Patmanathan atau Muhammad Ridzuan Abdullah memeluk Islam dan kemudian menukar agama tiga anak mereka, tanpa izin isterinya.
Mahkamah sivil telah memberikan hak penjagaan penuh ketiga-tiga kanak-kanak kepada Indira dan membatalkan penukaran mereka, tetapi Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan.
Pada tahun 2009, Kabinet memutuskan bahawa seseorang kanak-kanak mesti dibesarkan dalam agama yang dianuti oleh kedua-dua ibu bapanya pada masa perkahwinan itu namun ia menerima bantahan daripada Majlis Raja-Raja (MRR).
Subramaniam juga berkata, pihaknya (kerajaan) akan terus mencari kaedah lain untuk menyelesaikan isu itu ekoran bantahan MRR.
“Ya, kita melihat pelbagai pilihan dan kita sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara. Saya tidak boleh memberitahu anda butiran lain,” katanya ringkas.
Subramaniam menegaskan, hak penjagaan anak dalam pertikaian antara agama merupakan isu undang-undang dan bukan perkara agama.
“Ini adalah isu undang-undang, di mana undang-undang telah ditafsirkan secara berbeza oleh orang dan hakim yang berbeza. Menghadapi perbezaan pendapat, maka ia menjadi tanggungjawab sistem perundangan untuk menyatakan undang-undang yang jelas.
“Kami akan memberikan penjelasan yang sepatutnya supaya tidak berlaku salah tafsiran,” katanya.