Lori hantu diawasi di seluruh negara bermula hari ini

Lori hantu diawasi di seluruh negara bermula hari ini

'Lori hantu' ini tidak dibenarkan melalui jalan awam kerana tidak dilindungi insurans dan mempunyai cukai jalan

aziz-kaprawi

PETALING JAYA:
Berkuat kuasa hari ini, mana-mana ‘lori hantu’ yang dikesan berada di jalan awam di seluruh negara akan disita serta-merta, manakala pemiliknya berpotensi dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata arahan itu dikuatkuasa susulan kejadian lori hantu merempuh 37 kenderaan di hadapan sebuah sekolah menengah di Bandar Damai Perdana, Cheras, Kajang, semalam.

“Pada dasarnya, lori hantu ini tidak dibenarkan melalui jalan awam kerana tidak dilindungi insurans dan mempunyai cukai jalan.

“Ia hanya boleh diguna di kawasan persendirian contohnya tapak pembinaan. Jadi, saya amat sedih dengan kejadian yang berlaku semalam,” katanya, dipetik daripada laporan BERNAMA.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, dua pelajar perempuan Tingkatan Satu maut, manakala seorang penjaja cedera selepas dirempuh sebuah van yang dilanggar sebuah lori di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damai Perdana.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Willey Richard dipetik berkata, pemandu lori itu difahamkan meninggalkan kenderaan terbabit di kawasan berdekatan untuk makan tengah hari, sebelum ia menggelongsor menuruni bukit lalu melanggar beberapa kenderaan lain yang berada di hadapan sekolah itu.

Seorang pemandu lori lelaki warga Indonesia ditahan berhubung insiden itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.