Dua anggota tentera kes tembak dibebaskan

Dua anggota tentera kes tembak dibebaskan

Yang ditembak cuba merempuh sekatan di kawasan operasi berdekatan sempadan antarabangsa

Zulkifeli-Mohd-Zin_polis_handcuf_tembak_600

PETALING JAYA:
Dua anggota tentera yang ditahan bagi membantu siasatan keatas insiden tembak seorang suspek kes penyeludupan di Pasir Mas, Kelantan 7 Januari lepas, dibebaskan hari ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zin berkata anggotanya bertindak melepaskan tembakan dalam kejadian itu semata-mata sebagai langkah pencegahan.

“Saya melihat perkara ini sebagai satu insiden yang tidak boleh dielak. Kejadian adalah di mana sebuah kenderaan cuba merempuh sekatan di kawasan operasi berdekatan dengan sempadan antarabangsa. Kalau rempuh sekatan maka sudah tentu ada niat yang tidak baik,” katanya, dipetik laporan BERNAMA.

Dalam kejadian 7 Januari lepas, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an maut selepas terkena tembakan anggota tentera yang bertugas di sebuah pos kawalan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Anggota tentera itu melepaskan tembakan setelah van yang membawa lelaki itu, tidak berhenti di pos kawalan untuk pemeriksaan.

Tembakan itu dikatakan terkena lelaki itu yang duduk di kerusi penumpang hadapan.

Beliau berkata, sebelum ini banyak kes dilaporkan berlaku di sempadan negara termasuk di Kelantan.

“Apa jadi kalau kenderaan itu membawa dadah, senjata api, pendatang haram, pengganas dan lain-lain. Tindakan untuk (tembak) diambil dalam waktu singkat selepas kenderaan itu merempuh sekatan,” katanya.

– Bernama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.