
Pengesahan itu dibuat oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurutnya, setakat ini tiga orang rakyat Malaysia sudah terbabit dalam pengeboman berani mati.
“Kalau sudah kira lagi satu sebelum ini, sudah tiga orang yang sanggup bukan sahaja tak takut mati tetapi berhasrat untuk melakukan sesuatu sebelum ini tak terfikir untuk kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas majlis penerimaan pesawat kedua Airbus A400 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan akan bermesyuarat mengenai ancaman serantau dari selatan Filipina dan Thailand, Jumaat ini.
“(Ia) bukan sahaja melibatkan pihak ketiga daripada mereka yang berada dalam MINDEF (Kementerian Pertahanan), tetapi Wisma Putra, ISIS (Institut Strategi dan Pengajian Antarabangsa), akan bersama-sama dengan kita memikirkan apa jua tindakan yang kita ambil.
“Tiada pertindihan dalam kita hendak berhadapan dengan ancaman ini,” katanya
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan sebagai berkata, dua pengebom berani mati yang membunuh lebih 30 orang di Syria dan Iraq belum dapat disahkan rakyat negara ini.