Memetik laporan Utusan Malaysia pada hari ini, wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Raja Kerinchi Tinggi Sumatra menarik perhatian ramai apabila merancang untuk menyampaikan pingat kebesaran pada ‘Hari Kebesaran Bonda Ratu’ di Istana Ratu Mahligai Sungai Rambai di Melaka Sabtu ini.
“Difahamkan seramai 80 orang dijangka hadir untuk menerima anugerah dan gelaran tertentu. Majlis yang diadakan secara besar-besaran itu turut dijangka dihadiri oleh keturunan Kesultanan Kerinchi,” kata sumber seperti dipetik akhbar itu.
Bukan setakat itu, ‘Bonda Ratu’ juga memiliki logo rasmi yang didakwa melambangkan institusi Kesultanan Kerinchi pada sampul surat jemputan majlis tersebut yang tertera ‘Urusan Seri Paduka Baginda’, selain menggunakan gelaran ‘Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ratu’.
Berikutan itu, polis sudah pun menahan wanita terbabit yang berumur dalam lingkungan 40-an di rumahnya di Sungai Rambai, selepas menerima laporan polis.
Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Sampornak Ismail yang mengesahkan perkara itu berkata, wanita berkenaan ditahan bersama suaminya pada jam 2 petang, semalam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.
