Henti sementara perlombongan bauksit tak memadai

Henti sementara perlombongan bauksit tak memadai

Pemberhentian sementara perlu disusuli rancangan dan tindakan yang menyeluruh, serta melibatkan pakar, tokoh masyarakat

Maketab-Mohamed_BAUXITE_600_1

PETALING JAYA:
Para pencinta alam sekitar berpendapat masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan berhubung masa hadapan industri perlombongan bauksit, walaupun pemberhentian sementara telah diisytiharkan.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof Maketab Mohamed berkata pemberhentian sementara itu merupakan permulaan yang baik.

Beliau menjelaskan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menangani isu bauksit harus melibatkan ahli politik pemerintah dan pembangkang, serta pakar-pakar dan para saintis daripada bidang-bidang berkaitan seperti ekologi marin, hidrologi, kualiti air, kimia air, perikanan, kejuruteraan perlombongan, gelologi, pencemaran air dan sebagainya.

Selain soal permit impot (AP) yang kini hanya akan diberikan kepada syarikat, Maketab berkata syarikat perlu ditetapkan supaya mengemukakan senarai kemahiran mereka, seperti jurutera perlombongan, jurutera alam sekitar, pengangkutan dan pakar keselamatan antara lainnya.

“Tidak praktikal kalau industri dihalang kerana ia menjana pendapatan.

“Mana-mana aktiviti manusia atau perindustrian akan memberi kesan keatas masyarakat hingga ke alam sekitar, tetapi kita tidak boleh tutup mata isu-isu berbangkit,” katanya, dan menambah masalah-masalah yang telah berlaku perlu kita depani dengan cara untuk mengurangkan kesan perlombongan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ecotourism & Conversation Society Malaysia (ECOMY), Andrew Sebastian pula berkata tempoh pemberhentian sementara sepatutnya lebih dari tiga bulan supaya usaha pengurangan kesan perlombongan dan pemuliharaan alam dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan teliti.

Tambahan pula, kerajaan pada ketika ini digesa supaya menyemak peraturan-peraturan yang ada, serta proses tindakan, tatacara pengendalian piawai (SOP), dan menyiasat bagaimana isu yang berlarutan sekian lama ini boleh dielakkan atau ditangani lebih awal.

Beliau menambah badan-badan dan pakar-pakar teknikal bebas perlu dilibatkan proses semakan itu.

“Sekiranya industri bauksit gagal mematuhi peraturan dan amalan terbaik, maka ia perlu dihentikan serta-merta,” tegasnya, dan menambah keberanian politik merupakan faktor penting memastikan industri perlombongan terkawal.

Dalam pada itu, Pengerusi Centre for Environment, Technology and Development Malaysia (CETDEM) Gurmit Singh berkata penguatkuasaan merupakan faktor yang menentukan kejayaaan pemberhentian sementara itu, lebih-lebih lagi dengan kewujudan aktiviti perlombongan haram.

Beliau menjelaskan kerajaan perlu mengemukakan rancangan terperinci yang menguruskan kesemua agensi yang terlibat, serta memperkenalkan mekanisma pemantauan yang memastikan penguatkuasaan yang berkesan.

“Industri bauksit di negara ini perlu dibandingkan dengan piawaian Australia, yang merupakan sebuah negara yang lebih besar dengan industri bauksit yang matang, maka syarikat-syarikat yang berhasrat untuk menyertai industri itu perlu mematuhi piawaian yang setaraf.

Gurmit berkata kerajaan juga perlu membenarkan kumpulan pencinta alam atau pihak ketiga yang bebas meneliti rancangan-rancangannya untuk industri perlombongan dan menerbitkan rancangan itu supaya orang-ramai tahu apa yang perlu dilakukan.

Semalam, Putrajaya mengumumkan pemberhentian sementara selama tiga bukan keatas perlombongan bauksit di Pahang berkuatkuasa 15 Januari, yang akan dilanjutkan sekiranya industri itu gagal membendung pencemaran daripada aktiviti perlombongan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.