Tertuduh, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang kononnya menjadi ‘mangsa culik van putih’ didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu.
Dia yang tidak boleh didedahkan namanya kerana bawah umur mengaku bersalah atas tuduhan itu.
Majistret Nor Asma Ahmad menetapkan ikat jamin RM1,500 dengan dua penjamin dan menetapkan tarikh 14 Januari untuk sebutan semula kerana menunggu laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Teman lelaki remaja perempuan itu, Gan Chin Teck, 19, pula didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik kanak-kanak bawah umur.
Dia tidak mengaku salah dan dibebaskan dengan ikan jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 25 Februari untuk sebutan semula kes itu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Sementara itu, seorang lagi remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai rakan pasangan itu berdepan dengan tuduhan merogol remaja perempuan itu.
Tiada pengakuan direkodkan kerana ibu bapa remaja lelaki itu tidak hadir.
Tertuduh memberitahu mahkamah bahawa ibu bapanya tahu dia ditangkap tetapi tidak tahu akan didakwa di mahkamah hari ini.
Sehubungan itu, Nor Asma menetapkan sebutan kes remaja itu pada esok bagi untuk memberi peluang ibu bapanya datang.
Mahkamah juga menetapkan ikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin dan kedua-dua penjamin itu mestilah ibu bapa tertuduh.
Minggu lalu, seluruh negara digemparkan dengan kes culik seorang remaja perempuan yang menelefon salah seorang ahlinya untuk meminta pertolongan.
Dalam perbualan itu, remaja perempuan itu mendakwa diculik beberapa lelaki menggunakan van putih dan mendakwa untuk dijual.
Rakaman perbualan itu telah menjadi viral dan hangat dikongsi pengguna laman sosial.
Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes itu dan berjaya menemui remaja perempuan itu bersama teman lelakinya dalam sebuah kereta di stesen minyak di Jenjarom, Banting.
Hasil siasatan mendapati, remaja itu mengaku menipu dia diculik kerana mahu bebas daripada keluarga.
