PAS dapat tambahan kerusi ahli majlis

PAS dapat tambahan kerusi ahli majlis

Persetujuan itu sebagai balasan kepada PAS kerana 'mengorbankan' satu kerusi EXCO

Shuhaimi-Shafie_pas_amanah_600

PETALING JAYA:
PAS mendapat tambahan kuota ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada 67 kepada 70 serta tambahan jawatan ketua kampong.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafie berkata, tambahan kuota itu sebagai balasan kerana PAS kehilangan satu kerusi EXCO kerajaan negeri.

Beliau berkata, mengikut perjanjian asal, 1/3 ahli majlis dan ketua kampung diberikan kepada PAS sebagai balasan kerana terpaksa mengorbankan satu kerusi EXCO.

Katanya, walaupun PAS bertegas untuk tidak memberikan kuota ahli majlis kepada Parti Amanah Negara (AMANAH), namun akhirnya persetujuan dicapai demi kestabilan negeri Selangor.

“Kita (PKR) bersetuju untuk bertolak ansur demi melicinkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. Pastinya dalam proses perbincangan ini ada yang setuju dan sebaliknya namun akhirnya, kita dapat keputusan di mana PAS, DAP dan PKR mestilah meletakkan kepentingan kerajaan negeri di tempat utama,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda berkata, PKR telah ‘mengorbankan’ 19 kerusi ahli majlis dalam rundingan itu untuk menyelesaikan konflik tersebut.

“PAS bertambah tiga manakala PKR pula bertindak melepaskan banyak (19) kerusi kepada DAP, PAS dan juga AMANAH.

“Proses untuk mendapatkan sesuatu akan membingitkan tetapi ia harus dihadapi. PAS dah kurang satu kerusi EXCO, okey lah.. ada ruang untuk kita meluahkan perasaan tidak puas hati namun pada masa sama kita harus terima kelebihan dan kekurangan,” katanya.

Dalam Mesyuarat EXCO hari ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa PAS dan DAP memberi laluan kepada AMANAH dalam isu pengagihan dan pelantikan ahli majlis PBT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.