Hanya premis capai standard tandas bersih layak dapat lesen PBT

Hanya premis capai standard tandas bersih layak dapat lesen PBT

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata garis panduan baharu itu akan mula dilaksanakan secara berfasa bagi mengangkat imej dan standard tandas di Malaysia.

Nga Kor Ming
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ia bagi memastikan standard tandas ‘BMW’ menjadi norma nasional dan meningkatkan imej perkhidmatan awam serta pengalaman pengguna.
KUALA LUMPUR:
Bermula tahun depan, hanya premis memiliki tandas bersih dan memenuhi standard minimum kebersihan layak diberi kelulusan lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata garis panduan baharu itu akan mula dilaksanakan secara berfasa dalam usaha kementeriannya mengangkat imej dan standard tandas di negara ini.

“Pelaksanaan garis panduan itu akan dibuat secara berfasa mengikut kategori PBT, melibatkan majlis bandar raya bermula 2026, majlis perbandaran (2027) dan majlis daerah (2028),” katanya pada Majlis Penganugerahan Tandas Terbaik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 (Totya 2025) di sini, semalam.

“Langkah itu bertujuan memastikan standard tandas ‘BMW’ (Bersih, Menawan dan Wangi) menjadi norma nasional serta meningkatkan imej perkhidmatan awam dan pengalaman pengguna, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.”

Beliau berkata, garis panduan baharu itu juga menetapkan nisbah baharu kemudahan tandas di premis perniagaan dan bangunan awam, iaitu sekurang-kurangnya satu tandas lelaki dan dua tandas perempuan, sejajar keperluan pengguna serta aliran trafik pelanggan.

“Mulai tahun depan, tandas awam yang dibina perlu mengikut garis panduan KPKT supaya 10 tahun akan datang tidak lagi perlu beratur panjang menjelang hari perayaan.

“Saya sendiri ‘observe’ dan lihat wanita memerlukan lebih masa menggunakan tandas. Hal ini juga dibuktikan melalui dapatan saintifik kerajaan Jepun.”

Sementara itu, Nga berkata, Totya 2025 mencatat sejarah apabila 744 penyertaan diterima, meningkat berbanding 625 penyertaan tahun lalu dan 345 penyertaan pada 2023.

“Peningkatan ketara ini membuktikan Totya kini penanda aras kebangsaan dalam penilaian standard kebersihan dan kualiti tandas awam.”

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM180 juta dalam tempoh tiga tahun bermula 2024 untuk pembaikan dan menaik taraf tandas awam di seluruh negara.

Pada majlis itu, Nga menyampaikan anugerah kepada pemenang lapan kategori yang masing-masing membawa pulang RM20,000 berserta trofi dan sijil.

Kategori rumah ibadat dimenangi Masjid Tepian Putra di Kuantan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Kwok Kuala Lumpur (kategori sekolah) dan Tandas Awam Terminal Putrajaya Sentral (kategori PBT).

Kategori restoran dimenangi Sushi Tie di Bintulu, Shell Jalan Hospital di Ipoh (kategori stesen minyak), manakala kategori rehat dan rawat (R&R) dimenangi R&R Tapah (arah selatan), Lebuhraya Utara-Selatan (Plus Berhad).

Kategori hotel dimenangi NU Hotel di Bintulu, manakala Pavilion Bukit Jalil muncul pemenang kategori pusat beli-belah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.