PBT Johor naik kompaun 5 kali ganda kekang lambakan peniaga warga asing

PBT Johor naik kompaun 5 kali ganda kekang lambakan peniaga warga asing

Exco Johor Mohd Jafni Md Shukor berkata garis panduan baharu akan diwujudkan bagi mengekang kebanjiran peniaga warga asing di kawasan pekan, kampung dan Felda.

jafni
Exco Johor Mohd Jafni Md Shukor berkata laporan 16 PBT dari Disember 2024 hingga bulan lalu menunjukkan kadar kompaun dikeluarkan melonjak daripada RM30,000 kepada RM180,000. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor menaikkan kadar kompaun lima kali ganda tahun ini dalam usaha mengekang lambakan peniaga warga asing haram di negeri itu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Mohd Jafni Md Shukor, berkata laporan 16 PBT bagi tempoh Disember 2024 hingga bulan lalu menunjukkan kadar kompaun dikeluarkan melonjak daripada RM30,000 kepada RM180,000.

Katanya, pelbagai bentuk penguatkuasaan dilaksanakan PBT, termasuk pemeriksaan lesen, serbuan, sitaan, pengeluaran kompaun, pembatalan dan penutupan premis serta rampasan lesen mengikut tahap kesalahan.

“Sepanjang tempoh sama, PBT mengeluarkan 158 notis kesalahan, 304 kompaun dan melakukan 552 sitaan.

“Ada premis ditutup sementara dengan pemasangan tali kuning sebagai langkah mengelak pengulangan kesalahan,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang DUN Johor menjawab soalan Tan Eng Meng (BN-Pekan Nanas) berhubung tindakan terhadap premis dikendalikan atau milik warga asing tanpa kebenaran.

Beliau berkata, operasi bersepadu turut dijalankan melalui rondaan harian, pemeriksaan berkala dan serbuan besar-besaran membabitkan Jabatan Imigresen, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja.

Menurutnya, penguatkuasaan itu berpandukan Undang-undang Kecil Pelesenan, Akta 171 serta peraturan imigresen yang disokong pemantauan berjadual dan pemberitahuan kepada pemilik premis bagi menghalang pemindahan lesen secara tidak sah atau penyalahgunaan premis oleh warga asing.

Jafni berkata, garis panduan baharu akan diwujudkan bagi mengekang kebanjiran peniaga warga asing di kawasan pekan, kampung dan Felda.

“Apabila kita lihat di kawasan kampung, Felda dan pekan, kedai-kedai runcit orang tempatan semakin hari semakin kurang sebab mereka tidak boleh bersaing dengan warga asing yang menjual dengan harga lebih murah.

“Sampai masanya kita buat garis panduan baharu secara hikmah supaya warga asing tidak boleh berniaga di kampung, pekan dan Felda.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.