Selangor kutip fi kelestarian mulai 1 Jan

Selangor kutip fi kelestarian mulai 1 Jan

Exco Selangor Ng Suee Lim berkata hasil kutipan akan disalur kembali kepada industri pelancongan bagi aktiviti pemuliharaan dan pembangunan infrastruktur.

Exco Selangor Ng Suee Lim berkata fi kelestarian yang ditetapkan mengikut jenis penginapan bermula RM2 hingga RM7 tidak akan membebankan pengunjung. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selangor akan memperkenalkan fi kelestarian kepada pengunjung mulai 1 Jan depan bagi memastikan kelestarian warisan dan alam sekitar terus terpelihara, kata Exco Ng Suee Lim.

Menurutnya, mekanisme kutipan akan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak hotel hanya berperanan pengurus.

“Fi ini tidak membebankan pengunjung dan harga ditetapkan mengikut jenis penginapan, iaitu RM7 untuk hotel lima bintang, RM5 untuk hotel empat bintang, RM3 untuk hotel tiga bintang dan RM2 bagi homestay atau AirBNB,” katanya menurut Sinar Harian pada sesi penggulungan sidang DUN Selangor.

Beliau berkata, caj kelestarian sudah sudah dilaksanakan negeri dan tempat pelancongan lain termasuk Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Langkawi, Perak dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, hasil kutipan akan dimasukkan ke tabung khas yang akan diuruskan setiausaha kerajaan negeri untuk disalurkan kembali kepada industri pelancongan bagi aktiviti pemuliharaan dan pembangunan infrastruktur.

Dalam perkembangan lain, Ng mengumumkan inisiatif “Surprising Selangor” sempena Tahun Melawat Selangor 2025 yang akan disambung hingga tahun depan.

Setakat suku kedua tahun ini, katanya, Selangor menerima 4.14 juta pelancong bermalam sekurang-kurangnya sehari dan sasarannya 8 juta pelancong menjelang hujung tahun.

“Jumlah pelawat harian pula dianggarkan 34.5 juta, namun angka direkodkan Tourism Selangor berbeza kerana hanya mengambil kira pengunjung yang menginap sekurang-kurangnya satu malam.”

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan pendapatan RM15 bilion daripada sektor pelancongan, dengan usaha meningkatkan jumlah pelancong bermalam dan memastikan setiap pelawat mengeluarkan resit perbelanjaan sah.

“Pelancongan salah satu industri paling cepat berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negeri. Ini sebabnya kita perlu memastikan setiap langkah diambil dapat memberikan manfaat kepada rakyat Selangor.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.