Pensyarah Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, tanggungjawab lelaki sebagai suami lebih berat berbanding isteri tetapi golongan itu tidak ada tempat untuk membuat aduan.
“Bagaimana lelaki mahu membela wanita lemah sedangkan hak sendiri tidak terbela,” katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian.
Beliau berkata, pendekatan itu perlu bagi membentuk suami isteri sebagai sebuah pasukan yang boleh bekerjasama dengan baik, saling melengkapi tanpa wujud penindasan.
Pakar perundangan itu membuat saranan tersebut susulan kajian pakar sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati 23,800 kes penceraian dalam kalangan pasangan Islam pada 2014 disebabkan penderaan mental dan psikologi yang dialami suami.
Shamrahayu berkata, contoh yang berlaku apabila suami sakit kerana terkena sihir atau ilmu hitam tetapi mangsa dipaksa dirujuk sebagai pesakit mental.
“Apabila ada jabatan yang khusus mengenai hal ehwal lelaki, ia boleh dirujuk kepada mereka. Hanya selepas itu, barulah undang-undang mengenai sihir boleh dibawa ke Parlimen bersama bukti, fakta dan asas empirikal yang kukuh,” katanya.
