Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah berkata, dakwaan kononnya pembuangan sisa balak ke dalam sungai melalui aktiviti pembalakan tidak terkawal di hulu Kelantan antara punca utama jambatan di Kampung Pemberian Kuala Krai runtuh.
“Perkara ini elok dirujuk kepada Jabatan Perhutanan Negeri kerana ia dibawah bidang kuasa dan tanggungjawab mereka,” katanya ketika dihubungi FMT pada Ahad.
Terdahulu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menggesa kerajaan Pas Kelantan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memantau aktiviti pembalakkan dengan mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang terlibat.
“Setiap kali jambatan khususnya di kawasan Hulu Kelantan runtuh, kerajaan pusat mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membaiki atau membina jambatan baharu, namun, selagi ada sisa balak yang hanyut akan merempuh jambatan sehingga musnah.
“Masalah itu tidak akan selesai sekiranya kerajaan negeri tidak memandang serius perkara ini. Kita akan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membina semula jambatan ini untuk kemudahan penduduk,” kata Mustapa.
Mengulas lanjut, Nik Amar berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dan membuat rujukan kepada Jabatan Perhutanan Negeri berhubung isu berkenaan sebelum langkah seterusnya diambil.
