Tuduh polis bersubahat: Ketua aktivis PPIM akan dipanggil

Tuduh polis bersubahat: Ketua aktivis PPIM akan dipanggil

Polis bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ada anggotanya melindungi peniaga haram sehingga berani bertindak kasar dan menipu pengguna

polis-kotaraya

KUALA LUMPUR:
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan akan dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan beliau anggota polis bersubahat dalam kes penipuan di Kompleks Kota Raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata, siasatan itu untuk mengetahui lebih lanjut siapakah anggota polis yang dimaksudkan Nadzim itu.

“Saya telah memanggil Datuk Nadzim selepas membaca wawancaranya menerusi BERNAMA semalam, di mana beliau menuduh polis ini bersekongkol dan sebagai musang berbulu ayam dalam PDRM.

“Malah saya mahu tahu siapa yang dimaksudkannya itu. Datuk Nadzim boleh beri maklumat tersebut kepada saya atau pergi membuat aduan dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bagi membolehkan kita melakukan siasatan,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tajudin berkata, pihak PPIM sepatutnya membenarkan polis untuk melakukan siasatan berhubung kejadian itu termasuk membabitkan ahli persatuan pengguna itu sendiri.

Katanya, penahanan ahli PPIM itu juga merupakan sebahagian daripada siasatan, malah hasil daripada siasatan tersebut pihak polis akan mendakwa salah seorang
peniaga di Kota Raya setelah selesai mengambil keterangan pihak tertentu.

Terdahulu, Nadzim berkata beliau tidak menolak kemungkinan bahawa adanya penglibatan anggota polis yang melindungi pihak peniaga menjalankan aktiviti haram sehingga memberi ruang kepada pengusaha premis bertindak berani melakukan penipuan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.