Pemuda Pas: Kes Indira-Ridhuan sebagai peringatan

Pemuda Pas: Kes Indira-Ridhuan sebagai peringatan

Keputusan Mahkamah Rayuan dianggap sebagai kemenangan perjuangan seorang bapa mempertahankan akidah anak-anaknya

Mohd-Khairuddin-Aman-Razali
PETALING JAYA: Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menggesa semua pihak agar menghormati keputusan Mahkamah Syariah yang membenarkan Muhd Ridhuan Abdullah menukar agama ketiga-tiga anaknya.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, keputusan itu sebagai satu kemenangan perjuangan seorang bapa mempertahankan akidah anak-anaknya.

“Keputusan besar Mahkamah Syariah itu juga harus menjadi ingatan kepada semua pihak terutamanya golongan yang mengangkat agenda liberal agar tidak menggugat dan cuba mencabar kemurnian agama Islam,” katanya menerusi kenyataan media.

Muhammad Khalil berkata, cubaan pihak-pihak tertentu yang mencampuri urusan agama dan hakikatnya menghina Islam boleh menjejaskan keharmonian dan menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat.

“Kepada seluruh umat Islam, kami menyeru keprihatinan dan iktibar agar bersatu memastikan perkara seperti ini tidak berulang. Tahniah kepada Saudara Muhd Riduan dan insya-Allah, Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama anda demi perjuangan suci agama Allah ini,” jelasnya.

Mahkamah Rayuan pada 30 Disember telah mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi dalam keputusan majoriti berkata Mahkamah Tinggi Ipoh tidak mempunyai bidang kuasa bagi membicarakan penukaran agama tiga anak Mohd Ridhuan bersama bekas isterinya seorang guru tadika, M Indira Gandhi.

Mahkamah membuat keputusan itu kerana isu penukaran agama adalah hak eksklusif Mahkamah Syariah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.