Pengislaman anak: Cukup sekadar izin salah seorang ibu bapa

Pengislaman anak: Cukup sekadar izin salah seorang ibu bapa

Perkara 12(4) Perlembagaan tak wajibkan persetujuan kedua-dua ibu bapa, kata Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly.

kl high court
M. Indira Gandhi dan 13 plaintif lain fail saman cabar peruntukan dalam beberapa enakmen negeri berhubung penukaran agama kanak-kanak.
KUALA LUMPUR:
Pengislaman kanak-kanak hanya memerlukan keizinan salah seorang ibu bapa atau penjaga, kata Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly di Mahkamah Tinggi.

Hanir yang mewakili Wilayah Persekutuan menegaskan, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan tidak mewajibkan persetujuan kedua-dua ibu bapa, sebaliknya hanya seorang dewasa yang bertanggungjawab, sama ada ibu bapa atau penjaga.

Beliau mengemukakan hujahan tersebut dalam pendengaran saman yang difailkan oleh M Indira Gandhi dan 13 yang lain, yang mencabar peruntukan dalam beberapa enakmen negeri berkaitan penukaran agama kanak-kanak.

Negeri-negeri yang dinamakan sebagai defendan ialah Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan.

Hanir berhujah, tindakan plaintif yang bersandar kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira pada 2018 adalah tidak mencukupi, memandangkan keputusan tersebut bersifat khusus kepada fakta kes dan tidak mencabar secara langsung peruntukan negeri yang relevan atau Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

“Sandaran plaintif terhadap keputusan 2018 dalam kes Indira adalah tidak mencukupi, memandangkan keputusan tersebut khusus bagi fakta unik kes tersebut dan tidak boleh dikatakan terpakai bagi semua kes berkaitan pengislaman kanak-kanak.

“Ujian penentu (litmus test) mengenai persetujuan bersama ibu bapa yang diketengahkan dalam keputusan Indira tidak boleh diterapkan bagi semua kes pengislaman kanak-kanak kerana ia terlalu mempermudah konsep kebajikan kanak-kanak yang kompleks dan menjejaskan kepentingan terbaik mereka,” katanya.

Hanir berkata, tafsiran luas Perkara 12(4) perlu diguna pakai dengan menterjemahkan perkataan ‘parent’ (ibu atau bapa) dalam bentuk tunggalnya yang nyata.

“Ini tafsiran yang wajar, yang membolehkan fleksibiliti lebih besar dalam pentadbiran undang-undang berkaitan pengislaman kanak-kanak, sekali gus memastikan tiada aspek kebajikan kanak-kanak yang terlepas pandang,” katanya.

Plaintif, termasuk Indira, menegaskan undang-undang negeri yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak secara sepihak adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia ‘melanggar’ Perkara 12(4), yang memerlukan keizinan ibu bapa untuk asuhan agama anak.

Merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kesnya sendiri, Indira berkata, perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12(4) harus ditafsirkan sebagai ‘ibu dan bapa’ jika masih hidup, yang bermaksud kedua-dua ibu dan bapa mesti memberi keizinan sebelum anak yang dilahirkan oleh pasangan bukan Islam boleh diislamkan.

Plaintif memohon deklarasi agar semua penukaran agama sepihak yang dilakukan di negeri-negeri tersebut sejak keputusan pada 2018 itu dibatalkan.

Saman tersebut difailkan pada Mac 2023.

Sebagai alternatif, mereka memohon perintah agar penukaran agama sedemikian tertakluk kepada keizinan kedua-dua ibu bapa dan dibatalkan sekiranya salah seorang ibu atau bapa enggan beri keizinan dalam tempoh setahun selepas perintah mahkamah dikeluarkan.

Dalam prosiding hari ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) hadir sebagai pencelah.

Hakim Aliza Sulaiman kemudian menetapkan 21 Mei depan sebagai tarikh keputusan.

Anak perempuan Indira, Prasana Diksa, telah dilarikan oleh bekas suaminya, Riduan Abdullah, hampir 18 tahun lalu ketika mangsa hanya berusia 11 bulan.

Pada 2009, Riduan mengislamkan ketiga-tiga anak pasangan itu tanpa keizinan Indira dan memohon hak penjagaan melalui mahkamah syariah.

Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama tersebut terbatal dan tidak sah serta memerintahkan ketua polis negara untuk menangkap Riduan kerana mengingkari arahan Mahkamah Tinggi supaya memulangkan Prasana.

Bagaimanapun, pihak polis menyatakan bahawa mereka masih belum berjaya mengesan keberadaan Riduan dan Prasana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.