Ahli Parlimen PAS minta maaf, niat hendak pertahan ‘kitab Injil asal’

Ahli Parlimen PAS minta maaf, niat hendak pertahan ‘kitab Injil asal’

Nik Muhammad Zawawi Salleh menjelaskan niatnya di sebalik kenyataan tentang kitab suci yang diikuti penganut Kristian.

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh, hari ini menarik balik perkataan “dipesongkan” dan “diubah” ketika merujuk kepada kitab Injil yang diikuti penganut Kristian, serta memohon maaf sekiranya ia menggores perasaan.

Wakil rakyat Pasir Puteh itu mengatakan beliau tidak berniat memburukkan mana-mana agama, dan menjelaskan niat sebalik kenyataannya.

“Niat saya adalah hendak pertahankan kitab Injil asal yang diturunkan kepada Nabi Isa, tanpa ada sebarang perubahan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Zawawi sebelum ini membuat kenyataan itu ketika perbahasan rang undang-undang untuk mengusulkan denda lebih berat kepada pesalah yang memandu bawah pengaruh alkohol.

Kenyataan itu mengundang bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST), dan ahli politik dari Sabah dan Sarawak.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, hari ini membuat ketetapan hujah “spontan” Zawawi itu, memakai perkataan “dipesongkan” dan “diubah”, memberi kesan kepada penganut Kristian.

“Bagi memelihara keharmonian masyarakat majmuk, saya memohon dan meminta Pasir Puteh meminta maaf dan menarik balik kedua-dua perkataan tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.