Umno Kedah selar Ahli Parlimen PAS dakwa noktah kemiskinan bercanggah fitrah

Umno Kedah selar Ahli Parlimen PAS dakwa noktah kemiskinan bercanggah fitrah

Kenyataan 'dangkal' wakil rakyat PAS itu serlah sikap antikemajuan, antikebajikan pemimpin PN, kata Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin persoal sama ada PAS mahu ‘promosi’ kemiskinan sebagai takdir mutlak, bukannya masalah serius yang perlu ditangani. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Umno Kedah menyelar kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh bahawa usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan yang disifatkannya dangkal dan tidak berasas oleh wakil rakyat PAS itu menyerlahkan sikap antikemajuan dan antikebajikan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

“Sejak bila kemiskinan itu jadi fitrah? Apakah PAS kini mahu mempromosi kemiskinan sebagai satu takdir mutlak dan bukannya masalah struktur sosial yang perlu ditangani secara serius?

“Fitrah manusia adalah untuk hidup bermaruah, berusaha perbaiki kehidupan dan keluar daripada belenggu kemiskinan, bukannya untuk terus miskin dan ditindas oleh sistem yang gagal,” katanya kepada FMT.

Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen semalam, Zawawi mendakwa, istilah menoktahkan kemiskinan sebagai retorik kosong yang bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.

“Saya kadang-kadang rasa agak terkejut bila perkataan ‘menoktahkan kemiskinan’. Istilah sebegini sebenarnya dia jadi sembang kosong.

“Dia bercanggah dengan naluri fitrah sebenar yang Allah cipta manusia. Mana-mana negara mesti ada kemiskinan,” katanya, lapor Harakah Daily

Beliau mendakwa, konsep pembangunan tidak boleh menafikan peranan kelompok berpendapatan rendah termasuk buruh kasar.

“Kalau tidak ada faktor kemiskinan, faktor orang yang susah, nak bina Parlimen ini tak akan terbina kerana buruh kasar mesti bekerja, bangsawan dia ada peranannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Shaiful berkata, Islam sendiri tidak mengajar umatnya untuk merelakan kemiskinan, malah dalam sejarah Islam, institusi zakat, wakaf dan baitulmal diwujudkan untuk membantu golongan susah.

“Kenyataan Zawawi ini hanyalah satu lagi episod populisme agama yang sempit, mempermainkan istilah ‘fitrah’ untuk menjustifikasi ketidakpedulian terhadap penderitaan rakyat.

“Ini bukan sahaja bercanggah dengan semangat Islam rahmatan lil ‘alamin, malah menjatuhkan martabat seorang wakil rakyat yang sepatutnya memperjuangkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata Umno Kedah menyokong sebarang usaha menoktahkan kemiskinan menjelang akhir tahun ini dan tidak akan kompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyekat kemajuan rakyat.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggunakan retorik agama menyesatkan,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.