Wakil rakyat Pasir Puteh terperangkap agenda politik PAS, kata penganalisis

Wakil rakyat Pasir Puteh terperangkap agenda politik PAS, kata penganalisis

Tawfik Yaakub berkata Nik Muhammad Zawawi Salleh terperangkap dengan agenda politik partinya, selepas mendakwa usaha menoktahkan kemiskinan tegar bercanggah fitrah kejadian manusia.

Isnin lalu, Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mendakwa istilah menoktahkan kemiskinan sebagai retorik kosong dan bercanggah dengan fitrah kejadian manusia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik percaya Ahli Parlimen Pasir Puteh dari PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh terperangkap agenda politik partinya, selepas mendakwa usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata semua pihak sedar usaha membasmi kemiskinan adalah tuntutan kepada semua kerajaan yang mentadbir negara, malah sejarah pentadbiran Islam dahulu membuktikan kemiskinan tegar wajib dibasmi.

“Adakah Ahli Parlimen PAS ini lupa pada sejarah bahawa pada zaman pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz tidak ditemukan lagi orang yang berhak menerima zakat dan keprihatinan negara, sehingga harta itu dibawa kembali ke baitulmal,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Zawawi ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Isnin yang dilaporkan mendakwa istilah menoktahkan kemiskinan sebagai retorik kosong dan bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.

“Saya kadang-kadang rasa agak terkejut bila perkataan ‘menoktahkan kemiskinan’ disebut. Istilah sebegini sebenarnya jadi sembang kosong.

“Ia bercanggah dengan naluri fitrah sebenar yang Allah cipta manusia. Mana-mana negara mesti ada kemiskinan,” katanya seperti dilaporkan Harakah Daily.

Mengulas lanjut, Tawfik berpandangan sekiranya jumlah penduduk miskin bertambah maka implikasinya besar sehingga memerlukan kerajaan menambah peruntukan subsidi yang pada asalnya boleh dialihkan kepada peruntukan pembangunan lain.

“Ini menyebabkan kebergantungan berterusan golongan berkenaan kepada pihak kerajaan tanpa berusaha keluar daripada kelompok miskin tegar,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan kemiskinan tegar tidak wajar dibiarkan tanpa sebarang tindakan, strategi dan usaha tuntas daripada kerajaan.

“Malah menoktahkan kemiskinan itu adalah tanggungjawab utama dan menggerakkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan hari ini merupakan kejayaan dalam proses pelaksanaan,” katanya.

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan Zainal Abidin Sakom pula berkata sebagai badan menggerakkan pelbagai usaha membasmi kemiskinan sejak ditubuhkan pada 1990, ia berjaya membantu mengurangkan kadar miskin tegar dari 137,000 kepada hanya 20,000 orang ketika ini.

“Kita sudah menunggu 35 tahun untuk capai matlamat supaya tiada lagi miskin tegar dan Alhamdulillah di Selangor kita dah capai pada tahun ini,” katanya.

Tegasnya, usaha menoktahkah kemiskinan memerlukan komitmen bersungguh dari semua pihak, bukan ‘berkelahi antara satu sama lain’.

“Bincang (usaha basmi kemiskinan) tetapi jangan berkelahi,” katanya sambil menambah pihaknya komited terus melaksanakan program membasmi kemiskinan melalui pelbagai program kemasyarakatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.