
Walaupun begitu, harapan untuk menikmati hidup yang lebih baik dan berdikari turut dihalang oleh keadaan yang tidak dijangka, seperti pandemik Covid-19.
Inilah hakikat yang perlu ditelan Lim Anuar, seorang artis cacat pendengaran berusia 52 tahun, yang berdepan kesukaran untuk menampung kehidupannya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sebelum wabak Covid-19, Lim yang dilahirkan pekak, tiada masalah untuk memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarganya menerusi penjualan karyanya dan juga kelas seninya.
Sejak perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa, penjualan karya seni terhenti begitu juga pengajaran di kelas seninya.
Oleh kerana keluarganya berada di Vietnam ketika PKP 3.0 berkuatkuasa, dia terpaksa mengurus dirinya sendiri sejak beberapa bulan lalu.
Bercakap kepada FMT, Lim menceritakan cabaran yang dihadapinya sebagai seorang yang pekak dan erti seni terhadapnya ketika waktu sukar ini.
“Sebagai seorang yang mempunyai masalah pertuturan dan pendengaran, seni adalah satu-satunya alat pintar saya.
Ia umpama suara untuk saya berkomunikasi dengan orang ramai, masyarakat, dan dunia di luar sana,” katanya.

Seni baginya, adalah suara yang membantu mengekspresikan mood dan emosinya sekali gus membantu dia berhubung dengan keluarga, budaya dan warisannya.
Selepas negara dilanda wabak sehingga segalanya terhenti, seni menjadi bertambah penting lagi berbanding sebelumnya kerana ia membolehkan Lim meluahkan pemikirannya.
“Kenangan mungkin akan pudar dengan waktu, namun tidak seni; ia tetap terukir, tidak semua mata dapat melihatnya, telinga mendengarnya dan mulut untuk mengungkap bahasa hati yang hanya orang kurang upaya seperti saya mampu menggambarkan, merasionalisasi dan mewujudkannya melalui seni.”
Menurut Lim, dia baru berusia 10 tahun di Pulau Pinang ketika pertama kali melihat karya seni rakan sekelas dan merasa dia mampu melakukan sesuatu yang lebih baik lagi.
Mula berjinak-jinak dengan pen dan pensil, Lim bermula dengan komik kung fu dan mengembangkan kemahirannya menumpukan perhatian kepada kejadian yang berlaku di sekelilingnya.
Sebagai lulusan seni bina dalaman, Lim terpaksa mengikut arahan majikan berbanding kemahuan peribadinya.
Pekerjaannya turut menyekat peluang terutama sekali kreativitinya.
Lim akhirnya memilih untuk berhenti kerja demi membebaskan kreativiti dan dapat mengekspresikan dirinya dengan seni sekali lagi.

“Ada orang yang tidak berpeluang menikmati malah tidak mengenal dunia seni yang indah.
“Jadi, saya menjadikan ia misi baru saya untuk ‘membuka pintu seni’ itu agar semua orang dapat menyentuh keindahan dan nilai sebuah lukisan,” katanya.
Lim sering mengembara, mencari inspirasi ke mana sahaja dia pergi dan mendidik dirinya tentang sejarah seni, budaya dan teori.
Menurut Lim, sumber inspirasinya berubah mengikut masa, di mana karya seni awalnya banyak dipengaruhi sewaktu zaman kanak-kanak di Pulau Pinang.
Namun kini, dia lebih memfokuskan untuk berkongsi keunikan kehidupan rakyat Malaysia, berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kepelbagaian budaya negara dan perlunya memupuk sejarah dan identiti.
“Hidup memberi kita inspirasi, kita perlu cepat mengenal pasti dan memasukkan ‘suara’ kita, seperti yang saya lakukan menerusi lukisan dan seni batik ini,” ujarnya.
Dia akhirnya mengembangkan kecenderungannya dalam bidang lukisan batik, dan bangga memperkenalkan dirinya sebagai artis batik hingga ke hari ini.
“Saya memilih seni batik kerana batik mewakili identiti, budaya dan warisan Malaysia. Tambahan pula, tidak ramai pelukis batik di negara ini,” jelasnya.

Walaupun melukis batik adalah proses rumit dan memerlukan kemahiran tinggi dan masa, namun karya seni rumit yang dapat dihasilkannya menerusi batik cukup bernilai.
Bagi Lim, adalah penting bagi setiap karya seni itu memperkatakan tentang sesuatu, jika tidak, ia tidak lebih dari ‘percikan cat yang menitis di kanvas’.
Budaya Malaysia memberikan banyak idea kepada Lim untuk bekerja, dan dia berusaha sebaik mungkin untuk bermain dengan banyak warna bertujuan mengundang rasa nostalgia dalam kalangan penonton.
Perjalanannya tidak mudah. “Tidak mudah menjadi artis yang pekak, anda perlu berdepan banyak cabaran terutama dalam masyarakat kita yang cenderung mengasingkan kumpulan OKU,” katanya.
Oleh kerana jualan karya seni adalah sumber pendapatan utamanya, agak sukar untuk menampung kehidupan di Malaysia di mana pasaran seninya bersaiz kecil.
Meskipun pernah terfikir untuk menyerah kalah, hidup perlu diteruskan kerana dia yakin masih ada cerita yang perlu dikongsikan kepada dunia, dan di sebalik cabaran itu, dia tidak pernah berhenti berharap.
Wabak Covid-19 telah menjadi cabaran besar buat Lim, apabila pameran terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan.

“Untuk membantu saya menjana pendapatan, saya turut menyertai banyak pertandingan seni dengan harapan dapat memenangi hadiah wang tunai,” katanya.
“Pandemik ini adalah pembuka mata buat saya dan ia hanya akan mendorong saya untuk memberikan yang terbaik – virus atau tidak, saya tetap akan melukis!”
Sekiranya anda peminat seni, anda boleh membantu Lim dengan membeli karya seni miliknya. Dia juga sedang mencari ruang kerja yang boleh digunakan sebagai studio miliknya.
“Saya juga ingin mendapatkan sokongan dari segi pemasaran dan promosi serta perkhidmatan perhubungan awam dari individu dan syarikat yang berminat,” tambahnya.
Menyentuh soal masa depan, Lim berkongsi impiannya untuk membuka galeri seni dan bengkel, yang membolehkannya meningkatkan kesedaran dan membolehkan rakyat Malaysia yang kurang upaya dan kurang bernasib baik untuk berjaya.
“Ada ramai bakat di luar sana dan kreativiti mereka akan dipamerkan di galeri seni saya,” katanya.
“Ini adalah arah masa depan yang bakal saya bentuk. Suara saya adalah lukisan saya.”
Sokong Lim Anuar dengan melihat karya dan projek terbaharunya di laman web, Instagram dan Facebook.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]