Jatuh kerusi roda, warga emas OKU lemas dalam tali air

Jatuh kerusi roda, warga emas OKU lemas dalam tali air

Lelaki berusia 77 tahun berkaki palsu itu ditemukan terapung di bawah jambatan Sungai Tiang, pagi tadi.

Kerusi roda mangsa kelihatan berada berhampiran lokasinya terjatuh di Sungai Tiang, dekat Selekoh, Hutan Melintang pagi tadi. (Gambar JBPM)
IPOH:
Seorang lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari kerusi rodanya ke dalam tali air di Jalan Kampung Sungai Tiang Baru, dekat Selekoh, Hutan Melintang pagi tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, berkata mangsa lelaki tempatan berusia 77 tahun yang berkaki palsu itu, ditemukan terapung di bawah jambatan Sungai Tiang kira-kira dua meter dari lokasi dipercayai mangsa terjatuh, pada 8.40 pagi.

“Setibanya jentera di tempat kejadian pada jam 8.13 pagi, kerusi roda milik mangsa ditemukan berada di tepi tali air dan mangsa disyaki telah terjatuh ke dalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazlean berkata pasukan bomba kemudian menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota membuat pencarian di sekitar kawasan kejadian.

Mangsa berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba sebelum diperiksa oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.