
Suatu ketika dulu, kelas tuisyen bagi kebanyakan ibu bapa adalah sumber pembelajaran tambahan untuk anak-anak mereka.
Sebaliknya kini, kelas tuisyen berfungsi sebagai penyelamat, terutamanya sejak penularan wabak Covid-19 dan beberapa siri perintah kawalan pergerakan (PKP).
Memandangkan sekolah ditutup, ramai pelajar bergelut untuk mengekalkan pencapaian mereka, terutamanya dengan minat terhadap pembelajaran yang semakin terjejas.
Oleh yang demikian, kelas tuisyen membantu mengisi jurang yang ditinggalkan akibat ketiadaan kelas fizikal, di mana guru tuisyen mengadakan kelas dalam talian secara berkala.
Namun, bukan semua pelajar mampu mengikuti kelas tuisyen, dan memandangkan keadaan ekonomi semasa, kedudukan mereka tidak dapat dielakkan.
Halangan dan cabaran yang dilalui pelajar ini menggerakkan seorang tutor matematik, Janahan Arumugam, membantu dengan inisiatif terbarunya.
Dalam usaha melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan di Malaysia, Janahan merancang untuk mengadakan webinar selama 14 jam pada 10 Oktober ini.
Webinar yang disasarkan untuk pelajar Tingkatan Lima yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini, juga terbuka kepada pelajar sekolah menengah dari semua tingkatan lain.

Ia bakal merangkumi topik dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, atau lebih tepat lagi sebagai sesi penyegaran semula.
Apa yang lebih penting, pendaftaran dan penyertaan adalah percuma dan mana-mana pelajar dari mana sahaja di Malaysia bebas untuk menyertainya.
Sudah tentu, idea webinar selama 14 jam itu sukar untuk dibayangkan, namun Janahan yakin dia dapat melakukannya tanpa masalah.
Tetapi mengapa dia tetap melakukannya dan mengapa secara percuma? Ketika ditemui FMT, ahli matematik itu berkongsi kisahnya dan bagaimana dia merancang untuk berkongsi minatnya terhadap subjek tersebut dengan pelajar di Malaysia.
Menurutnya, minat terhadap mata pelajaran itu agak ketara sejak zaman persekolahan lagi, sekali gus mendorong untuk memilih melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di kolej.
“Saya fikir jika anda mahir dalam matematik, kursus kejuruteraan akan lebih mudah, tetapi tidak! Matematik yang anda pelajari di sekolah menengah sama sekali berbeza dengan apa yang akan anda pelajari di sekolah kejuruteraan,” ujarnya.
Sebagai pelajar, Janahan terpaksa hidup berjimat cermat dengan wang saku yang terhad, dan ada ketikanya dia terpaksa ikat perut untuk menjimatkan perbelanjaan.

Bagi menjana sumber kewangan, Janahan mula melakukan kerja sampingan, sebagai juruukur dan juruteknik.
Walau bagaimanapun, akhirnya dia berada di landasan yang betul, hasil maklum balas positif dari pelajar baru yang dibantunya.
“Kata mereka, kaedah pengajaran saya sangat bagus berbanding dengan pensyarah mereka,” kenang Janahan yang mula mendapat idea untuk mengajar kelas tuisyen.
Pelajar pertamanya adalah saudara bapanya, dan walaupun tidak mengenakan sebarang bayaran, dia masih diberi elaun perjalanan sebanyak RM20.
Ia bukan permulaan yang sangat baik, tetapi bagi Janahan ia masih merupakan pengalaman yang tidak ternilai sehingga membuatnya bertekad untuk meneruskan kerja mendidik.
Moto hidup Janahan adalah ‘Belajar, Mengajar Memberi Inspirasi’, dan akibat cukup terkesan dengannya dia mula menanamkan cinta yang sama terhadap matematik di dalam diri murid-muridnya.
Sejak itu dia sibuk mengejar cita-citanya untuk membantu pelajar memahami kerumitan matematik, dan pada tahun 2019, lahirlah naskhah pertamanya, ‘Math Key’ (Kunci Matematik), untuk membimbing pelajar mencapai A dalam subjek tersebut.

Namun, tahun berikutnya adalah antara yang paling sukar perlu dihadapi oleh Janahan, akibat pandemik Covid-19.
Menurut Janahan, wabak dan perintah sekatan pergerakan memberi kesan ke atas mental dan kewangannya. “Selama tiga bulan berturut-turut, saya tiada pendapatan, saya terpaksa bergelut,” katanya.
Idea untuk mengajar kelas tuisyen dalam talian agak menggentarkan Janahan, dan berkat bantuan beberapa pelajar yang setia, dia akhirnya dapat menyesuaikan diri.
Namun, dia tetap bimbang minat pelajar untuk belajar semakin berkurangan, akibat terpaksa menghabiskan banyak masa di rumah.
Menyedari hakikat betapa ramainya rakyat Malaysia yang terjejas untuk meneruskan kehidupan, Janahan kemudian sering mengadakan bengkel dalam talian dan webinar secara percuma.
“Semuanya dijalankan secara percuma bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik untuk mendapatkan pelajaran,” kata Janahan.

Menurut Janahan, pelajar yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan, mendedahkan pengetahuan asas mereka terhadap matematik sekolah menengah kurang mantap dan merasa tidak bersedia untuk menduduki SPM.
Lebih menyedihkan, mereka tidak dapat meneruskan kelas tuisyen kerana keadaan kewangan keluarga yang semakin meruncing.
Menyedari dia bukan satu-satunya pelajar di Malaysia yang berdepan masalah ini, Janahan terdorong untuk mengadakan webinar bagi memberi pelajar ini kursus jangka pendek matematik secara percuma.
Dia yakin, tempoh 14 jam yang penuh mencabar itu akan berjalan dengan lancar. Dia juga sudah berjumpa dengan doktor keluarganya untuk mendapatkan nasihat.
Lebih menarik lagi, dia turut mempersiapkan diri dengan aktiviti berbasikal pada waktu malam, jadi dia yakin dirinya cukup cergas untuk bertahan lama.
Janahan tetap berharap seminar yang berlangsung selama 14 jam ini akan tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai sebagai ‘Webinar Matematik Tanpa Henti Maya Terpanjang’.
“Mengapa akhirnya saya memutuskan untuk menjadi seorang guru adalah kerana saya percaya ilmu itu menyentuh kehidupan. Apabila anda mendidik seorang pelajar, anda membentuk masa depan pelajar itu,” akhiri Janahan.
Ada anak-anak yang memerlukan kursus jangka pendek matematik? Sertai webinar percuma Janahan dengan menghantar WhatsApp “Join Project 14” ke 010-2551434. Pendaftaran dibuka sehingga 8 Oktober, jadi cepat! Ketahui lebih lanjut dengan melayari Facebook atau Instagram.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]