Pelajar bantu ibu berniaga kerepek terharu dapat hadiah jam kegemaran

Pelajar bantu ibu berniaga kerepek terharu dapat hadiah jam kegemaran

FS Channel mendekati adik Awal yang gigih membantu ibunya berniaga kerepek.

Adik Awal ditemui FS Channel sebelum diberikan hadiah wang tunai dan jam tangan istimewa.

Seorang pelajar tingkatan satu hanya mampu menitiskan air mata selepas menerima kejutan daripada dua insan yang memberikannya hadiah seutas jam tangan berwarna biru kegemarannya.

Remaja yang lebih mesra dikenali sebagai Awal itu didekati dua lelaki terbabit yang mengendalikan akaun FS Channel di Facebook untuk membantu mereka yang memerlukan melalui sumbangan amal dari orang ramai.

Berdasarkan video yang dikongsi, Awal membantu ibunya berniaga kerepek di stesen minyak Shell di Bandar Tasek Selatan, Kuala Lumpur ketika hari cuti persekolahan.

Kerepek tersebut dijual pada harga RM5 sebalang dan dia kelihatan membawa 23 balang untuk dihabiskan pada hari berkenaan.

FS Channel bagaimanapun menawarkan untuk membeli kesemua kerepek tersebut dan mereka meminta Awal memberinya kepada pelanggan-pelanggan di stesen minyak berkenaan.

Tanpa meragui niat mereka, Awal terus melakukan seperti yang diminta sebelum ditemu ramah dengan lebih lanjut.

Perwatakan remaja itu yang bersikap lembut dan sopan ketika menjual kerepek kepada orang ramai turut menarik perhatian.

Remaja itu kemudiannya diberi dua kotak air Milo sebagai penghilang dahaga sambil ditanya apakah impiannya, Awal kemudian menjawab, “Kalau boleh saya ingin menjadi seorang usahawan berjaya.”

Mereka turut bertanyakan jika Awal inginkan seutas jam tangan memandangkan dia tidak mempunyai jam untuk melihat waktu.

Dengan ringkas dia menjawab, “bolehlah” dan inginkan warna biru.

Wakil FS Channel kemudian memberikan bayaran kerepek kepada Awal dan remaja itu ternyata terkejut kerana menyangka diberi RM115 iaitu harga kesemua kerepek berkenaan tetapi dihulurkan dengan wang tunai sebanyak RM500 sekaligus menyebabkan dia begitu terharu.

Seperti yang dijanjikan, beberapa hari kemudiannya, wakil FS Channel bertemu sekali lagi dengan Awal dan menghadiahkan seutas jam tangan berwarna biru yang membuatkan remaja itu sekali lagi kelihatan sebak dan terharu.

Menurut FS Channel, jam tangan dan sumbangan wang tunai tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai kepada Yayasan Maghfirah.

Semoga adik Awal berjaya dalam kehidupan dan mencapai impiannya menjadi seorang usahawan berjaya.

Orang ramai juga boleh turut sama membantu usaha amal seperti ini dengan menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Maghfirah menerusi akaun Bank Islam bernombor 12300010011304 dengan rujukan ‘BantuPeniaga’.

Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan kerepek boleh menghubungi ibu Awal, Shuhaidah di talian 011-5146 5608.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.