Kolaborasi agung pulak dah

Kolaborasi agung pulak dah

Pelbagai pakatan diusulkan sebelum ini, terbaru kolaborasi agung ilham Zahid Hamidi namun tujuan semuanya sama cuma beza persembahan.

Mohsin Abdullah

Payung besarlah, perpaduan ummahlah, Muafakat Nasionallah – semua tak ke mana. Sekarang kita disajikan pula dengan cerita ‘kolaborasi agung’. Tujuan semuanya sama. Yang beda, gaya persembahan dan perkataan yang digunakan dalam menjustifikasi penubuhan masing masing.

Kolaborasi agung diilhamkan Presiden Umno Zahid Hamidi dan usul pembentukan dikemukakan pada ucapan penggulungannya sebagai kemuncak Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 yang diadakan pada 2026.

PAU 2025 awalnya dijadual November lalu tetapi ditunda ke tahun ini supaya Umno dapat beri tumpuan kepada PRN Sabah. Berdasarkan prestasinya pada pilihan raya itu, penundaan itu bagai tak berbaloi.

Bagaimanapun orang Umno melihat PAU 2025 yang tamat Sabtu lalu berjaya pada aspek menetapkan hala tuju parti dan merapatkan barisan dalam kalangan ahli.

Usul kolaborasi agung yang dikemukakan Zahid disambut dengan laungan ‘setuju’ tiga kali oleh perwakilan. Persetujuan terbuka seperti itu oleh perwakilan bukanlah sesuatu yang luar biasa pada perhimpunan Umno.

Perlu dinyatakan ketika ucapan dasarnya (pada Jumaat lalu, yakni hari pertama PAU), Zahid bercakap mengenai apa yang disifatkannya sebagai ‘Rumah Bangsa Umno’ yang katanya ‘lebih sesuai menyatukan orang Melayu berbanding payung besar’.

Menurut Zahid, gerakan payung besar ‘gagal kerana tidak berpaut pada rumah asalnya, iaitu Umno’. Beliau tidak menyebut nama, tetapi umum tahu payung besar itu diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum PAU, Zahid dan beberapa pemimpin tinggi Umno menolak gesaan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh supaya Umno bekerjasama dengan PAS dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN). “Kita tak mahu dipatuk ular sama kali kedua di tempat yang sama,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi pula minggu lalu dipetik FMT berkata, “PAS ada penyakit politik yang sukar disembuhkan. Mereka suka berkahwin dan bercerai dalam politik. Cepat berkahwin, cepat juga bercerai.”

Pun begitu, gesaan Akmal disokong Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari. Tetapi Presiden PAS Hadi Awang pernah berkata, sebarang kerjasama partinya dengan Umno tidak akan dilakukan selagi Zahid memimpin Umno.

Seingat saya, kenyataan itu sehingga kini tidak pernah ditarik balik oleh Hadi. Mungkin Akmal tidak tahu akan adanya kenyataan itu. Fadhli pula mungkin terlupa. Dan mustahil kedua-duanya tidak sedar Zahid masih presiden Umno.

Zahid mendakwa apa yang beliau bayangkan yakni kolaborasi agung ‘memang ada yang merisik dan meminang’. Dan dengan ini, katanya, yakni semasa mengusulkan cadangan itu, ‘risikan dan pinangan itu diterima dengan rasminya’. Tetapi bersyarat. Ini kita cerita sebentar lagi.

“Kita mahu supaya ‘grand collaboration’ ini dapat benar-benar menyatukan roh dan perjuangan parti-parti Melayu Islam dalam kerangka yang lebih besar,” katanya. Namun ini jugalah yang dicanang semasa mengumumkan usaha Melayu bersatu terdahulu. Seperti dikata tadi, mesejnya sama, gaya persembahan berbeda.

Begitu juga dengan kata-kata berikut oleh Zahid: “Dengan adanya ‘grand collaboration’, kita akan mengetepikan warna-warna yang berbeza dalam kalangan kita, demi Islam dan demi Melayu, kita harus berada (bawah) satu bumbung yang sama.” Ini juga pernah diucapkan pemimpin PAS, Bersatu dan tentunya Mahathir. Mesej sama, tetapi saya akui gaya persembahan Zahid lebih menarik.

Berkata juga Zahid, “Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) jangan risau, saya tidak akan ada agenda untuk tebuk atap atau mahu menggugat kerajaan perpaduan.” Inilah bedanya dengan rancangan perpaduan Melayu sebelum ini.

Inilah syarat yang Zahid sebut tadi, iaitu semua yang diterima masuk kolaborasi agung tidak ganggu-gugat kerajaan perpaduan.

Menurut Zahid, kolaborasi agung yang dicadangkannya tidak menuntut mana-mana parti politik membubarkan organisasi masing masing. Bermakna apabila pilihan raya diadakan, semua parti akan ambil bahagian. Adakah mereka akan bertarung antara satu sama lain?

Pada pandangan saya, ‘at the very best all parties in the grand collaboration are expected to behave nicely’. Iaitu bertarung dengan hormat dan cermat. Semasa kempen masing masing, kemukakan apa yang akan dan mampu mereka tawarkan kepada negara dan rakyat.

Ertinya parti A kata, aku boleh buat ini. Parti B pula kata, aku boleh buat ini. Tidak ada tohmahan, maki-memaki, fitnah, serangan peribadi. Namun bolehkah ini diteruskan apabila parti A menafikan kebolehan parti B dan parti B juga berbuat demikian?

Kata Zahid, sebagai langkah permulaan, kerjasama tidak rasmi digalakkan. Kerjasama apa? Beliau mendakwa sudah ada pertemuan membabitkan Umno, PAS dan Bersatu diadakan bagi membincang kerjasama. Saya ulangi, kerjasama apa?

Komen seorang bekas aktivis Umno: “Istilah seperti ‘Rumah Bangsa’ atau Muafakat Nasional sering kali dilihat sebagai produk pemasaran politik yang direka untuk menyatukan emosi rakyat. Namun keberkesanannya sering dipersoalkan apabila bertembung dengan kepentingan kuasa.”

Kata beliau, apabila nama-nama besar (jenama?) itu gagal diterjemahkan ke dalam dasar yang dirasai rakyat, ia mula kelihatan seperti hiasan di atas pentas untuk memenangi hati pengundi, bukan satu komitmen jangka panjang.

“Nama-nama besar ini ialah alat komunikasi. Ia tidak salah untuk digunakan tetapi ia menjadi kosong atau retorik apabila pemimpin gagal membuktikan ‘rumah’ itu benar-benar selamat didiami atau ‘muafakat’ benar-benar ikhlas untuk rakyat, bukan sekadar ‘survival’ politik,” menurut beliau.

Saya akhiri dengan ini — Semua parti Melayu kerap berkata mereka mesti ‘move on’ daripada cara lama untuk jadi relevan. Dan mendakwa mesti berjuang untuk semua bangsa dan agama. Namun pada masa sama, mereka tetap ghairah bercakap pasal penyatuan Melayu. Bukan penyatuan Malaysia.

‘Some things never change’.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.