Sunway cadang ambil alih IJM, Akmal suarakan kegusaran

Sunway cadang ambil alih IJM, Akmal suarakan kegusaran

Ketua Pemuda Umno berkata, cadangan itu mungkin kelihatan seperti transaksi biasa, namun babit kepentingan ekonomi awam, kerajaan dan Bumiputera.

akmal saleh
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata, cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway dikhuatiri jejaskan kepentingan nasional dan Bumiputera. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mempersoalkan cadangan pengambilalihan IJM Corp Bhd oleh Sunway Bhd dalam urus niaga bernilai lebih RM11 bilion, menyifatkan IJM sebagai syarikat yang menguntungkan dan diurus dengan berkesan.

Akmal berkata, cadangan pengambilalihan itu mungkin kelihatan seperti transaksi biasa, namun ia membabitkan kepentingan ekonomi awam, kerajaan dan Bumiputera.

“Kalau IJM ni rugi, tak diurus dengan baik, kita faham, tak ada masalah (untuk diambil alih). Tetapi untuk makluman, IJM ini, tahun sebelum ini, untung saja sebanyak lebih kurang RM964.17 juta.

“Hasil IJM ada RM5.92 billion,” katanya menerusi video dimuat naik di TikTok.

Beliau berkata, hampir separuh saham IJM dipegang oleh entiti-entiti berkaitan kerajaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sementara itu, Akmal berkata, Sunway dikawal oleh Jeffrey Cheah, yang memiliki 0.5% kepentingan langsung dan 60% kepentingan tidak langsung.

“Jadi kalau IJM diambil alih oleh Sunway maka IJM ini Sunway punyalah. Ia akan jejaskan kepentingan nasional dan Bumiputera,” katanya.

“Dah lah ekuiti Bumiputera tak banyak. Bila kita nak hapuskan, jual pada Sunway, hilanglah ekuiti Bumiputera dalam syarikat besar dalam negara.”

Dalam pada itu, menurut Akmal, IJM memiliki pelbagai aset strategik termasuk lebuh raya utama seperti New Pantai Expressway (NPE), Besraya, Lekas dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), serta Pelabuhan Kuantan.

Dalam satu makluman Bursa pada 12 Jan, Sunway mengumumkan ia telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM bagi memperoleh kesemua 3.5 bilion saham syarikat itu pada harga RM3.15 sesaham.

Menurutnya, harga tawaran akan dilunaskan secara tunai sebanyak 10% manakala baki 90% lagi melalui terbitan saham baharu Sunway pada harga RM5.65 sesaham.

Tawaran ini bergantung pada syarat Sunway memperoleh penerimaan lebih 50% saham mengundi IJM menjelang tarikh tutup.

Jika IJM gagal mematuhi keperluan penyebaran pegangan saham awam Bursa Malaysia Securities sebanyak 25% selepas tawaran itu, Sunway menyatakan ia tidak bercadang untuk menampung kekurangan tersebut dan mungkin akan memohon untuk menyahsenaraikan IJM.

Sunway turut menyatakan hasratnya untuk meneruskan perniagaan sedia ada IJM, mengekalkan syarikat itu sebagai anak syarikat berasingan di bawah Sunway Group.

PM digesa campur tangan

Sementara itu, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) turut menyuarakan bantahan terhadap cadangan pengambilalihan itu, mendakwa urus niaga tersebut menjejaskan kepentingan negara, meletakkan nilai terlalu rendah ke atas IJM serta mengancam ekuiti Bumiputera dan dana awam yang dipegang oleh institusi pelaburan berkaitan kerajaan.

Justeru, Presiden Perdasama Azamanizam Baharon menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya campur tangan bagi menghalang berlakunya satu ‘kesilapan dasar yang besar dan bersejarah’.

“Cadangan ini bukan sekadar transaksi korporat biasa, sebaliknya melibatkan pemindahan aset strategik negara menggunakan instrumen kewangan yang berisiko tinggi dan berpotensi menjejaskan kepentingan jutaan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.