
Presidennya, Hadi Awang, berkata ia antara lain mengambil teladan Rasulullah bertonggakkan perpaduan Melayu Islam berkuasa dan masyarakat majmuk menerima kepemimpinan Islam.
Tetapi, katanya, PAS menolak perpaduan jika pemimpin menjadikan kuasanya kerana harta dan takhta dimuliakan serta dihormati kerana takut akan kezalimannya.
“PAS tidak boleh menerima konsep perpaduan, terutama yang membisu terhadap kezaliman dan dosa diharamkan Allah, yang menjadi sebab berlakunya perpecahan,” katanya menurut Berita Harian.
Sabtu lalu, Presiden Umno, Zahid Hamidi,mencadangkan ‘kolaborasi agung’ menghimpunkan parti politik Melayu-Islam, yang sama sekali bukan bertujuan menggugat kerajaan perpaduan sedia ada.
Katanya, Umno akan mengambil langkah pertama mengadakan pertemuan, termasuk dengan PAS, Bersatu serta parti dan NGO Melayu-Islam lain, berdasarkan perbincangan awal yang pernah diadakan.
Hadi berkata, setiap perbincangan mengenai kolaborasi agung perlu datang daripada kalangan ilmuwan bertafaqquh (kefahaman) dalam urusan Islam, bukannya individu jahil.
“(Ia juga perlu) berpandukan nas yang tidak berubah serta boleh menangani perubahan dalam kejadian alam, termasuk manusia dan dasar umum.
“Kita mahukan perpaduan berpayungkan kerajaan menunaikan kewajipan memimpin yang menjadi amanah besar daripada Allah serta ditaati kerana menghormati keadilannya.”
Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun berkata, PAS menolak seruan berkonsepkan bebas tanpa sempadan ketetapan Allah yang direalisasikan kerajaan Pakatan Harapan.