
Pada 28 Mac 2026 yang lalu, seorang sarjana pengajian Islam kembali ke rahmatullah. Almarhum Lutpi Ibrahim adalah seorang sarjana yang terkenal dalam tahun 1980an dan 1990an tetapi kurang dikenali oleh generasi baharu bidang pengajian Islam hari ini. Tahun-tahun saya menjadi siswa Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya, Prof Lutpi sering menjadi rujukan khusus dalam disiplin perbandingan mazhab. Antara makalah beliau yang sering dibaca adalah ‘Doktrin Bi-La-Kaifa Menurut Al-Asy’ari’.
Ketika saya berada di Universiti Malaya antara 1994 sehingga 1998, yang betul-betul memahami saya kebetulan hanya dua orang iaitu Prof Mahmood Zuhdi, dan tentu sahaja Lutpi. Idea-idea mereka banyak saya terapkan dalam beberapa karya sastera saya seperti ‘Perempuan Nan Bercinta’, dan ‘Tuhan Manusia’.
Salah sebuah karya akademik dan pemikiran Lutpi yang banyak mempengaruhi zaman belajar saya ialah ‘Khulafa’ al Rasyidin: Di Antara Nas dan Ijtihad’. Buku ini mendorong umat Islam agar terus-terus progresif serta terus melakukan ijtihad, dan jangan terperuk dalam tafsiran nas dan ijtihad ulama masa silam sehingga menyebabkan tergendalanya kemajuan. Ia diterbitkan pada 1993.
Di dalam buku ini Lutpi menyenaraikan rantaian ijtihad semua khalifah di zaman Khulafa Ar-Rasyidin dan bagaimana ijtihad tersebut mencorakkan pengamalan beragama kita hari ini. Dengan membandingkan bagaimana nas Al-Quran khususnya ditafsir dan bagaimana hadis Nabi diperikan, para khalifah terawal dalam Islam melakukan pelbagai perubahan, di mana inovasi-inovasi ini pada waktu itu dapat dikatakan menimbulkan kehebohan dalam umat.
Antara yang disentuh adalah larangan merekodkan hadis Nabi Muhammad di era Abu Bakar, mengenakan zakat kuda di era Umar al Khattab, pemberian khums dari Afrika Utara kepada Gabenor Marwan bin Hakam yang membolehkan ia dibelanjakan untuk pembinaan kediaman rasmi pemerintah, dan ijtihad Ali Abi Thalib yang tidak memberikan apa-apa hak keistimewaan kepada sesiapa pun, di mana semua orang di zaman baginda dianggap setara dan dihukum menurut Al-Quran dan Sunnah sekiranya bersalah. Kes-kes ijtihad ini dikemukakan dengan mudah tanpa bertele atau berjela membolehkan kefahaman orang awam.
Pada prakata buku tersebut, Lutpi menyebutkan agar ijtihad kekal dipugar dan janganlah fanatik atau jumud dengan satu sekolah pemikiran. Tulis beliau begini; “…ijtihad secara umum patut diteruskan kerana apa yang telah berlaku di zaman Khulafa’ Rasyidin tidak sama dengan apa yang berlaku di zaman kita ini. Malah Islam menggalakkan umatnya supaya berijtihad di setiap masa bagi menyahut seruan dan keperluan umat.”
Beliau juga menuntut keluasan berfikir dan menggunakan akal, dan melakukan perbandingan mazhab tidaklah bermaksud seseorang itu perlu berpindah mazhab. Almarhum mencatatkan begini:
“Saya juga ingin menegaskan bahawa kita tidak perlu berpindah kepada mazhab lain. Tetapi apa yang lebih perlu ialah memperluaskan wawasan berfikir dan tidak pula menyalahkan mereka yang mengikuti nas; Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah di dalam erti kata yang sebenar.”
Sudah tentu gagasan Lutpi ini menggerunkan kaum feudal agama yang mahu masyarakat hanya berpandukan satu pedoman rasmi sahaja. Sikap luwes beliau dalam soal mazhab, dan keberaniannya membandingkan sekolah pemikiran yang beraneka tentu sahaja menjadikan beliau sedikit kontroversial, terutama ketika dekad tersebut terdapat persaingan sengit khususnya dicetuskan oleh jalur keras Wahhabi yang kian mengukuh dalam masyarakat.
Gagasan perbandingan mazhab oleh Lutpi sebetulnya sangat terkehadapan pada waktu itu, dan masyarakat serta pihak berkuasa agama malangnya kurang memahami apa yang beliau perjuangkan. Oleh sebab itu, beliau sering dimomokkan dan ditanggapi secara negatif. Hari ini, gagasan perbandingan mazhab kembali diketengahkan secara lebih positif. Selepas beliau bersara, Lutpi lebih banyak berdakwah di Indonesia yang mana idea-idea bandingan mazhab ini lebih mudah diterima. Masyarakat Islam Indonesia diketahui lebih dinamik dan toleran dengan pelbagai gagasan berbanding masyarakat kita.
Idea-idea Lutpi yang kurang difahami pada waktu itu mengakibatkan beliau bersama-sama tujuh yang lain ditahan bawah akta zalim pada 1997, iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri, di mana beliau ditahan tanpa bicara ketika pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.
Peguam Lutpi ketika itu mendiang Karpal Singh, seorang Ahli Parlimen DAP dan bukan pula beragama Islam. Lutpi dibebaskan atas cabaran penahanan ini tidak sah selama beberapa minit, sebelum ditahan semula. Begitulah era ‘Mahathir 1.0’. Usaha parti pembangkang dan aktivis hak asasi manusia untuk membebaskan beliau dan rakan-rakannya dipandang sepi. Anwar Ibrahim yang ketika itu timbalan perdana menteri tidak menyambutnya. Padahnya, setahun kemudian, Anwar sendiri ditahan dan dilengserkan oleh Mahathir secara tidak adil.
Pengajaran yang diperolehi meski pahit ialah kita tidak boleh membenarkan ketidakadilan dalam apa jua bentuk, kerana lambat atau cepat ia akan kembali kepada kita semula. Setahu saya tiada permohonan maaf dari kerajaan untuk mangsa-mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri yang terdiri daripada golongan akademik.
Pada 3 Disember 1997, Prof Mohd Taib Osman yang pernah menjadi naib canselor Universiti Malaya antara 1991 sehingga 1994 mengkritik penahanan Lutpi di Berita Harian dalam satu rencana berjudul ‘Konflik akademik dan tuntutan masyarakat’, dengan menulis begini:
“Ketelusan menangani kes ISA yang dituduh mengancam keselamatan negara bukan saja menaikkan imej negara pada mata dunia luar, terutama Barat, tetapi dapat memberi panduan dan sempadan kepada rakyat yang lazimnya jahil mengenai selok-belok politik yang tidak bertanggungjawab dan menghindarkannya daripada digunakan sebagai alat untuk tujuan tertentu. Pengajian Islam bukanlah bidang saya, tetapi sebagai pemimpin UM dulu, saya tahu Prof Lutfi adalah salah seorang daripada beberapa kerat sarjana bidang itu yang menulis bagi jurnal bertaraf antarabangsa. Saya tidak tahulah dari segi akidahnya, tetapi dari segi akademik saya kira penyentuhan mengenai mazhab Syiah tidak dapat dielakkan. Dengan pengetahuan saya yang cetek, sering bergolak dalam kepala saya, apakah mungkin kita tidak menyentuh soal Mazhab Syiah, bahkan mazhab lain juga, apabila kita membicarakan sejarah atau falsafah Islam? Sebagai ahli akademik, kadangkala menyentuh satu perkara saja tidak cukup, kerana dorongan mendalami dan melihat sesuatu daripada pelbagai segi sentiasa wujud. Apabila berdepan dengan penuntut pula, mungkin keghairahan kita membincangkan sesuatu perkara itu boleh disalahtafsirkan seolah-olah kita berdakwah pula. Mungkin apabila kecenderungan akademik itu bertemu dengan tuntutan di luar lahirlah beberapa tanggapan lain pula. Siapa kata menjadi ahli akademik tiada risiko? Ia tidak lagi terasing dalam menara gadingnya. Apabila ia berinteraksi dengan dunia luar, baru ia mengenali realiti lain selain yang dibinanya melalui kegiatan akademik. Begitulah nampaknya pengalaman yang baru dialami Prof Lutfi.”
Jasa, keberanian dan keterbukaan Lutpi dalam disiplin perbandingan mazhab malangnya tidak ada pengganti hari ini. Moga-moga ada siswa pengajian Islam yang ingin meneroka ruang yang penuh risiko dan cabaran ini, terutama di zaman Madani dan keterbukaan terhadap pelbagai gagasan dan idea pemikiran Islam.
Al-Fatihah untuk Almarhum Prof Lutpi Ibrahim.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.