Dakwaan buli hingga alami gegaran otak, 7 dirakam keterangan

Dakwaan buli hingga alami gegaran otak, 7 dirakam keterangan

Keterangan percakapan babit pegawai perubatan merawat mangsa, murid sekolah yang menjadi saksi kejadian serta ahli keluarga kanak-kanak berkenaan.

Ab Rahaman Arsad
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merakam keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan kes buli murid Tahun 4 sehingga mengalami gegaran otak dalam dua insiden berasingan.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata keterangan percakapan itu membabitkan pegawai perubatan merawat mangsa, murid sekolah yang menjadi saksi kejadian serta ahli keluarga kanak-kanak berkenaan.

Katanya, setakat ini tujuh saksi diambil keterangan, tetapi jika ada keperluan pihaknya akan memanggil beberapa saksi lain bagi melengkapkan siasatan bergantung kepada keputusan laporan perubatan.

“Mangsa masih lagi menjalani rawatan dan berada dalam pemantauan pihak hospital. Pihak hospital juga belum boleh keluarkan laporan lagi memandangkan mangsa belum selesai menjalani rawatan.

“Polis sedang menunggu keputusan laporan perubatan penuh sebelum membuat sebarang kesimpulan termasuk dakwaan mangsa mengalami gegaran otak selepas didakwa dibuli dan dipukul oleh rakan sekolahnya,” katanya ketika ditemui selepas melawat kanak-kanak itu di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, menurut Harian Metro.

Terdahulu, ibu mangsa, Siti Suhaina Misdi, 39, mendakwa anaknya dipukul seorang murid berusia 12 tahun di sebuah sekolah agama sebelum sekali lagi dipukul murid lain berusia 10 tahun di sekolah kebangsaan di Skudai sehingga mengalami gegaran otak dan gangguan ingatan.

Susulan itu, ibu mangsa membuat dua laporan di Balai Polis Skudai dan Larkin pada 23 Mac dan 15 Ogos lalu.

Rahaman berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.