
Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mencadangkan hukuman penjara perlu dikenakan kepada mereka melakukan kesalahan berulang.
“Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 perlu digubal agar setiap elemen yang perlu dijadikan kesalahan diperincikan dengan jelas agar keabsahan suatu tindakan penguatkuasaan kemudian tidak mudah dicabar.
“Ketegasan perlu diambil untuk memastikan isu Jalur Gemilang ini tidak lagi berlaku dalam kalangan rakyat kita yang berbilang kaum,” katanya kepada FMT, mencadangkan hukuman melucutkan kewarganegaraan.

Mengikut Akta Lambang dan Nama jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam rakaman tular baru-baru ini, seorang lelaki yang juga peniaga dilihat menaikkan Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang.
Pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas itu menjelaskan dia membetulkan kesilapan serta-merta selepas menyedarinya, kemudian ditahan untuk siasatan.
Ia adalah insiden keenam berkaitan Jalur Gemilang dilaporkan berlaku sejak Januari lalu.
Pakar sejarah dan tamadun dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaid Ahmad, berpandangan insiden melibatkan Jalur Gemilang dipasang terbalik tidak dilihat seperti sesuatu yang dirancang.

Beliau berkata, sebaliknya melihat kepada sikap tidak cakna, ‘ketumpulan otak’, dan ‘kedunguan’ segelintir rakyat terhadap kemuliaan lambang negara.
“Di peringkat pihak berkuasa tindakan mesti diambil. Jangan kompromi dalam hal ini dan tindakan perlu diambil ikut perundangan. Jangan sampai tidak diambil tindakan kerana insiden melibatkan Jalur Gemilang dipasang terbalik adalah perkara serius,” katanya.
Sementara itu, aktivis sosial, Lee Lam Thye berkata isu pemasangan Jalur Gemilang tidak boleh diremehkan.

Beliau berkata, semua rakyat perlu berhati-hati dan memeriksa terlebih dahulu sebelum memasang Jalur Gemilang supaya dilakukan dalam kedudukan tepat.
Katanya, jika Jalur Gemilang dipasang secara terbalik bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang ramai malah memalukan negara.
“Saya rasa insiden melibatkan Jalur Gemilang dipasang terbalik tidak sepatutnya berlaku sebab kita sudah merdeka hampir 68 tahun. Saya rasa sikap seseorang sangat penting dan jangan kita memalukan negara,” katanya.