
Kawan, kes rogol bergilir di sekolah berlaku di sekolah agak pedalaman. Manakala kes tikam bunuh pula berlaku di sekolah bandar. Kejadian ini berlaku bukan kerana letak di desa atau kawasan urban, bukan juga kerana bangsa. Jenayah tidak mengenal warna kulit, kawan.
Memang kejadian tikam bunuh itu sepertinya dalam mini drama, Adolescence. Ia mengisahkan sebuah budak yang dibuli di media sosial, naik angin dan menikam mangsa yang mengejeknya. Polis, guru dan ibu-bapa tidak faham mengapa itu berlaku. Ada bahasa dan terma digunakan anak-anak tidak difahami langsung. Dan kita generasi terdahulu bingung memikirkannya.
Jika kita ingin menyalahkan Gen Z hari ini kerana berlakunya macam-macam jenayah yang mengejutkan di sekolah, kita juga harus ingat ada ustaz meliwat anak muridnya di sekolah tahfiz. Ada pula guru wanita melakukan hubungan seks dalam kenderaan dengan suami orang dan merakamnya. Kawan, ustaz dan guru yang disebutkan itu bukan pun Gen Z. Mungkin Gen X. Sedikit sebanyak ia melibatkan sekolah. Dan kita bingung memikirkannya.
Memang sekolah kita tidak selamat. Sebenarnya dahulu lagi sekolah kita tidak selamat. Ada-ada sahaja. Kisah buli, kisah guru memanjat katil budak, kisah bunuh diri, kisah mengintai guru, kisah itu dan ini berlaku di sekolah. Ia ulangan episod lalu. Cuma kawan, ia semakin kompleks dan canggih. Dahulu ia berlaku agak terpencil, kerana tiada ketularan. Sekolah dulu juga tidak selamat, cuma ia lebih tidak selamat hari ini. Dan dengan fenomena gajet yang menjadi-jadi; maka pengaruh buruk makin mengeruhkan keadaan.
Saya katakan puncanya adalah gajet, kawan. Ini kerana bukan sahaja Gen Z sahaja menjadi tercemar, bahkan kita generasi terdahulu ikut terbawa-bawa. Kita misalnya sudah kurang membaca dan lebih banyak menonton video pendek. Makanya otak kita berkarat. Kita juga lebih banyak ‘kepoci’ mengambil tahu urusan dan status orang, kerana itulah yang disuap dalam TikTok, Instagram, Threads dan macam-macam lain. Kita ikut bersoal jawab dengan orang yang tidak kita kenali pun di media sosial. Kadang kala bertegang urat dan naik marah. Padahal kita tidak mengenal orang yang menjadi saing kelahi itu.
Tapi gajet memang membawa pengaruh buruk. Dan bukan Gen Z sahaja menerima padah ini.
Perhatikan sahaja generasi ibu-bapa kita, terutama ibu bapa kita yang sudah pandai memegang telefon bimbit. Ibu-bapa kita ikut sama terpengaruh dan dibodohkan oleh pemerdaya yang menjual berjenis-jenis ubat. Sehingga ibu-bapa kita sudah tidak lagi mempercayai ubat atau doktor hospital tetapi sebaliknya mengimani apa yang disogok di platform YouTube dan Facebook. Ini semua tentunya berpunca dari dajal itulah, dajal gajet.
Kembali kepada sekolah, kawan; kita mesti memahami bahawa siapa sahaja naik menjadi menteri hari ini atau esok, mereka akan tetap berdepan dengan cabaran yang saya sudah sebutkan di atas. Jadi baik menteri ada sijil pengkhususan dalam bidang pendidikan atau guaman, atau kejuruteraan sekalipun; cabarannya tetap sama.
Masalah dengan gajet ialah ia membawa sama kepercayan-kepercayaan mengarut di mana anak-anak menjadikan gajet itu tokong mereka. Rujukan anak-anak kita ini kawan adalah pempengaruh yang mempamer bentuk kehidupan yang melalaikan. Semua dilakukan demi konten. Kita akan percaya dengan lurus apa yang dipamer konten. Kita tidak tahu tokoh disanjung menerusi konten itu terpaling poyo misalnya, dalam hal-hal Palestin misalnya. Kita tidak tahu, kawan. Yang tahu sahaja akan tahu.
Kawan, kita hidup di zaman gajet menjadi tuhan. Apa sahaja disampaikan dalam gajet di media sosial akan menjadi rukun iman anak-anak, ia akan menjadi rukun negara. Kita hari ini sebagai ibu-bapa bersaing dengan tokong dan tuhan inilah. Gajet itu kitab suci anak-anak kita. Untuk kita merampas gajet dari hidup mereka tentulah satu tindakan terkebelakang. Dalam hidup serba mungkin, serbi canggih dan serba-serbi laju itu, menidakkan gajet seibarat menafikan hak menghirup oksigen.
Jadi apa yang boleh kita lakukan untuk meluruskan kembali Gen Z, generasi kita, generasi ibu bapa kita; dan generasi mendatang iaitu alfa dan beta yang akan memasuki alam persekolahan kelak? Adakah mesin pengimbas senjata di hadapan sekolah menjadi solusi? Adakah meletakkan polis bantuan di sekolah satu jalan penyelesaian? Adakah membenarkan guru merotan murid akan kembali mewaraskan anak-anak kita seperti mana yang kita tempuh dahulu? Atau adakah peranan kaunselor di sekolah perlu ditingkatkan?
Ada satu ungkapan penting daripada Saidina Ali, “usah mendidik anak-anakmu seperti mana kamu dididik dahulu”. Ungkapan ini benar-benar perlu diperhati dan difahami. Ia bermakna zaman berubah, dan persekitaran sudah berbeza. Pun, perbezaan lingkungan dan masa sebetulnya tidak patut merubah nilai. Ini bermakna berzina, memperkosa, meliwat, menggambari diri sedang masturbasi, membunuh itu semuanya adalah nilai yang sama iaitu satu dosa, satu yang salah, satu yang tidak patut dilakukan; satu jenayah. Tapi beza era dahulu dan hari ini adalah dahulu tiada gajet. Hari ini ada gajet. Malang sekali kawan, gajet menunjukkan zina suatu yang lumrah, menekan anak-anak rasa tidak cukup lelaki, atau yang perempuan berasa tidak cukup ayu. Makanya anak-anak pun berlumba-lumba di gajet, membuat sesuatu demi menarik perhatian.
Menyalahkan gajet juga agak simplistik tentunya. Ini kerana ada sahaja manusia yang mempunyai daya kawalan diri yang kuat. Manusia ini mampu menguasai dirinya misalan untuk tidak skrol telefon bimbitnya melebihi dua jam sehari. Malah dua jam pun terlalu banyak. Atau jika ia mengskrol telefon tangannya, maka ia hanya akan menekuni bahan-bahan bermanfaat, dan bukannya hal-hal lewah dan lagha. Ada, memang ada kawan. Ada individu yang berasa tidak perlu pun dengan media sosial.
Dia menghabiskan masa dengan hobi; bertanam, menukang, membaca, memasak, dan hidup mereka ini penuh. Justeru bagaimana meningkatkan pengawasan kendiri? Inilah yang mungkin sangat kita perlukan hari ini. Pengawasan kendiri ini datang dari disiplin.
Mungkin awal sekali, kita perlu memberikan kesedaran dan satu bentuk kempen penggunaan gajet. Supaya kita semua memahami kegelojohan menggunakan telefon bimbit akan membawa mudarat.
Kita ada kempen mudarat merokok, larangan mengambil dadah, atau kempen anti pengambilan gula berlebihan. Seharusnya sudah ada kempen kesedaran penggunaan gajet yang berlebihan. Kempen ini bukan untuk ditertawakan, tetapi diterap dan dipaksakan. Ia harus dilakukan besar-besaran. Ibu-bapa pun mesti akur. Bukan anak-anak sahaja.
Saya menyebutkan sebuah drama di awal tulisan ini, Adolescence, hidup ibu-bapa suspek berusia 14 tahun itu berdepan dengan kecaman masyarakat. Hayat harian mereka tunggang terbalik. Satu ketka di hari jadi bapanya, sang ayah menangis melalak mengenangkan apakah dosa yang telah ia lakukan, dan mengapa anak sulungnya yang perempuan tidak seperti adik lelakinya.
Apa yang salah asuh, bagaimana si adik salah didik? Dalam drama itu, intinya mempertengkarkan peran ibu bapa, menteri, guru; justeru siapa yang salah?
Watak ibu dalam drama menang anugerah itu menyahut begini; cara didik kita selaku ibu bapa untuk si kakak, sama sahaja dengan cara didik untuk si adik. Bukan salah asuhan.
Kembali kepada genggaman gajet, kawalan diri, kerosakan identiti.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.