
Riuh-rendah sidang Dewan Rakyat minggu ini apabila PAS mempertikaikan pemberian kontrak berkait penjenamaan semula Tabung Haji (TH) kepada syarikat bukan Islam. Meski diberi pencerahan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, parti itu enggan menerimanya hingga mencetuskan polemik kaum.
Tidak cukup dengan Ahmad Marzuk Shaary (PN- Pengkalan Chepa) mula membangkitkan dakwaan pada 11 Ogos kononnya RM20 juta wang pendeposit TH digunakan untuk tujuan itu diberi kepada syarikat bukan Islam, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mengulanginya dalam sidang media mingguan Perikatan Nasional (PN) di lobi Parlimen pada Khamis.
Menolaknya sebagai isu perkauman, Ahli Parlimen Larut itu cuba menjelaskan bahawa pembangkang tidak mempersoalkan kepada siapa TH mahu beri kontrak. Namun di sebalik kenyataan itu pertikaiannya lebih kepada pertimbangan dan keutamaan lembaga itu yang mengamalkan meritokrasi.
“Kita persoalkan carilah syarikat yang faham prinsip Islam. Dia (TH) tak boleh ambil syarikat yang (lembaga pengarahnya) tak pernah pergi haji langsung, lepas tu dia nak ‘rebranding’ Tabung Haji. Kalau ‘rebranding’ dia bermula dari bawah lagi. Nak buat ‘rebranding’ lantiklah mereka yang tahu tentang kedudukan orang yang nak pergi haji, susah payahnya,” katanya.
Menjelaskan dalam sidang Dewan pada 18 Ogos bahawa penjenamaan semula itu hanya menelan kos RM6 juta untuk tempoh tiga tahun dan bukan RM20 juta seperti didakwa, Na’im berkata pelantikan syarikat tersebut dilakukan sama seperti pelantikan korporat lain — semua perolehan melalui proses saringan ketat sebelum dibawa ke jawatankuasa perolehan dan diluluskan oleh lembaga pengarah.
Ia tidak pun berbeza ketika TH memberi kontrak kepada 23 syarikat bukan Islam sewaktu Marzuk menjadi timbalan menteri agama. Melanjutkan pertikaman lidah mengenai isu itu selepas diberi amaran oleh Timbalan Speaker Alice Lau, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu diarah keluar dari Dewan Rakyat selama dua hari.
Keprihatinan PAS untuk melindungi kepentingan pendeposit TH tidak pun menjadi kesalahan tapi parti itu juga harus menghormati keputusan TH memilih gabungan syarikat perunding yang memiliki kepakaran berbeza berdasarkan keperluan khusus bagi menyusun semula strategi untuk memberi nafas baharu kepada institusi berkenaan.
Bukan PAS sahaja yang boleh mendakwa pandai mengurus institusi Islam seperti TH, apatah lagi pemilihan syarikat yang dilantik telah melalui proses tadbir urus ketat merangkumi penilaian kepakaran teknikal dan komersial yang menyeluruh, rundingan harga serta kelulusan jawatankuasa tender dan lembaga pengarah bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta nilai terbaik kepada organisasi.
“Rundingan terus merupakan kaedah perolehan dibenarkan dalam keperluan tertentu terutamanya bagi perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus seperti khidmat perundingan strategik, tinjauan dan kajian pasaran dan lain-lain perkhidmatan yang tidak dapat diperoleh melalui proses tender biasa,” kata Na’im.
Tapi biasalah PAS hanya nampak kesalahan orang lain dan akan ‘menunggang’ isu itu selama boleh tapi memilih berdiam diri terhadap kesalahan parti sendiri.
Pada hari yang sama dengan polemik TH diriuhkannya, Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengesahkan perintah gaji minimum RM1,700 turut terpakai pada guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) — prasekolah Islam yang ditubuhkan Pemuda PAS pada akhir 1980-an — seperti mana pekerja sektor swasta lain.
“Sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap perintah gaji minimum, saya sarankan agar perkara ini dilaporkan kepada pihak JTK (Jabatan Tenaga Kerja) untuk siasatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada Khamis.
Perkara itu lebih dahulu dibangkitkan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) pada 11 Ogos dengan menganggap pemberian elaun antara RM600 hingga RM700 kepada guru Pasti sebagai tidak adil.
Selain ia bercanggah dengan peraturan gaji minimum RM1,700 dan mengelak kewajipan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), alasan PAS bahawa guru Pasti berkhidmat sebagai sukarelawan tidak boleh diterima — berlawanan dengan guru tadika biasa.
Gaji minimum RM1,700 sebulan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Ogos 2025 meliputi semua majikan. Mana-mana majikan yang gagal mematuhi perintah itu atau melanggar Akta Majlis Perundingan Gaji Negara boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap pekerja.
Daripada mengambil ikhtiar untuk meningkatkan kebajikan guru Pasti, PAS sebaliknya terus dalam penafian. Dilaporkan ada 2,497 Pasti di seluruh negara dengan 9,539 guru dan 125,065 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun setakat 2024.
Peranannya bukan kecil kerana menjadi pilihan ramai ibu-bapa yang mahu anak mereka mengikuti pengajian prasekolah berasaskan Islam dari usia awal tapi khidmat guru-gurunya tidak mendapat pulangan setimpal, seolah-olah mereka ditagih untuk melakukan kerja amal.
Dalam pada Syahir Sulaiman (PN-Bachok) mempertahankan prasekolah itu dengan mengatakan guru hanya bekerja beberapa jam sehari, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN–Alor Setar) pula berkata guru Pasti menawarkan diri mengajar secara sukarela walaupun dimaklumkan lebih awal bayaran elaun diberikan adalah rendah.
Jadi, kata Ketua Pemuda PAS itu lagi, tidak adil membandingkan tugas guru Pasti dengan pekerja di sektor swasta.
“Guru-guru sukarelawan ini bekerja tanpa meminta imbuhan. Sejak mula bertugas di premis Pasti mereka menyatakan hasrat berkhidmat dengan ikhlas walaupun diberitahu elaun tidak dapat dibayar tinggi kerana yuran rendah. Mereka kata tidak mengapa, mereka mahu menyumbang tenaga. Keikhlasan guru inilah membantu masyarakat hari ini mengenal ABC, Alif Ba Ta,” katanya.
Alangkah mudahnya parti itu bersikap lepas tangan terhadap langkah-langkah meningkatkan kebajikan guru Pasti — jumlah mereka di seluruh negara menghampiri 10,000 orang — pada ketika PN tidak berhenti-henti menyalahkan kerajaan atas peningkatan kos sara hidup yang perlu ditanggung rakyat.
Barangkali benar guru Pasti jenis yang tidak merungut tapi mungkin juga mereka tiada pilihan lain.
Seperti ditegaskan Nik Nazmi, tidak harus ada diskriminasi terhadap guru hanya kerana Pasti beroperasi hasil sumbangan awam dan sokongan bahagian PAS. Selaku pekerja sah dari segi undang-undang, hujahnya, maka mereka mesti dilayan sebagai pekerja sama ada sepenuh masa atau sambilan.
“Ini jelas menyalahi undang-undang. Jika setiap majikan melabel pekerja mereka sebagai sukarelawan, tiada siapa akan membayar gaji minimum,” katanya dalam perbahasan RMK13 pada 11 Ogos.
Tapi sidang akhbar mingguan PN pada Khamis langsung tidak menyentuh isu itu dalam keterujaan mereka menuding jari kepada TH sebagai melebih-lebihkan vendor bukan Islam sambil pembangkang pula tidak pun berlaku adil kepada guru-guru Pasti beragama Islam.
Daripada mencipta alasan untuk menutup kepincangan yang berlaku, ada baiknya PAS meningkatkan usaha mencari dana tidak kira daripada sumbangan ahli, pemimpin parti atau melalui syarikat dimiliki penyokongnya supaya guru Pasti turut mendapat keadilan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.