
Saya setuju dengan nasihat yang diberi Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, tetapi bukan bab beliau menyeru DAP menasihati sayap pemuda parti itu agar tidak bertindak melulu susulan percakaran dengan Akmal Salleh si ketua Pemuda Umno.
Yang saya setuju ialah nasihat Mohamad kepada partinya dalam menghadapi realiti. Ini saya dapati menerusi satu video baru-baru ini yang dimuat naik di media sosial. Cukup sedap didengar. Tidak pasti tarikh nasihat diberi, mungkin sudah lama, mungkin baharu, tetapi yang penting mesejnya amat relevan.
Jelas nasihat disampaikan menerusi ucapan yang saya kira dibuat di hadapan orang Umno di satu majlis penting. Ringkasnya beliau bercakap mengenai prestasi parti pada pilihan raya.
Mohamad mengingatkan bahawa BN (baca: Umno) tidak menang satu kerusi pun di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Kelantan, dan Terengganu. Memang ini bukan perkara baharu tetapi seperti disebut tadi ia satu peringatan, yang pada hemat saya memang perlu diulang-ulang.
Kata beliau lagi, di Kuala Lumpur “kita menang satu kerusi dan di Labuan dan Putrajaya, kerusi yang selalu kita sangat selamat kita tewas”. Di Pahang dan Perak BN tidak dapat bentuk kerajaan tanpa kerjasama parti lain, kata beliau.
“Apa makna angka-angka ini?” tanya Tok Mat, yang menjawab: “Maknanya kita telah tewas dengan dahsyat. Kerana itu kita tak boleh mendabik dada bercakap dan berhujah dalam penafian, berlagak seolah-olah Umno ini keramat dan tersangat kukuh sedangkan kita ditolak rakyat.”
Jika kata-kata itu dikeluarkan baru-baru ini maka jelaslah ada orang Umno yang masih berlagak juara dan tidak sedar diri. Kata Mohamad, bersandarkan realiti kekalahan yang telah dialami, “maka kepimpinan Umno telah melakukan ijtihad politik untuk bersama Pakatan Harapan membentuk kerajaan perpaduan kerana kita menyedari betapa kecilnya pengaruh kita di mata pengundi.”
Kata beliau lagi, “untuk survival, saya ulangi survival, kita mesti mencari jalan menjadi sebahagian daripada kerajaan.”
The fact that he is still saying that, yakni bagi menjustifikasi langkah yang diambil kepimpinan Umno, jelas (ini saya rasa umum tahu) ada dalam kalangan Umno yang masih tidak puas hati dan buat-buat tak faham. Apatah lagi memang ada pihak luar parti yang mengapi-apikan dengan berkata, “Umno tidak ada jalan lain. Mesti tinggalkan Madani untuk pastikan DAP tidak menjadi kerajaan. Terus kekal hanya akan menyusahkan”. Ini saya kutip di platform media sosial.
Namun berkata Ketua Penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim, bahawa selepas menyertai kerajaan perpaduan Umno bijak memanfaatkan kesempatan tersebut untuk pemulihan. Menurut Yusri, beliau memerhati dengan dekat senario tersebut dan data-data menunjukkan Umno on track bahkan lebih cepat berbanding jangkaan awal.
“Keberadaan mereka dalam kerajaan memberi ruang sebaiknya untuk mereka bangkit semula,” kata beliau, dan kata Yusri walaupun Umno belum dilihat mampu menyaingi Perikatan Nasional dalam segmen majoriti besar Melayu, “mereka akan menewaskan PN dalam banyak kerusi berdemografi sedikit bercampur.”
Melihat prestasi pada siri pilihan raya kecil yang telah dijalankan, walaupun belum dapat semua undi konservatif Melayu, Umno dapat undi Melayu segmen penyokong PH sedia ada. Juga mula mendapat sokongan segmen bukan Melayu khususnya Cina, majoritinya segmen penyokong PH sedia ada.
Yusri yakin jika strategi sekarang dikekalkan, Umno berupaya tambah banyak kerusi pada PRU16. Kata kuncinya menurut beliau ialah ‘sabar’. Beliau menghuraikan beberapa tahap kesabaran dan juga realiti yang mesti dihadapi Umno:
“Jika pelan tersebut diikuti sebaiknya saya percaya selepas PRU16 Umno akan jauh berbeza berbanding sekarang. Walaupun mungkin tidak sekuat dulu tapi saya pasti akan sangat berbeza berbanding hari ini.”
Cuma tanya beliau, “adakah semua pemimpin Umno faham dan hadam strategi ini?”
Kata Yusri, jika tersilap langkah Umno bakal sekali lagi berhadapan pepatah Melayu lama: yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Undi Melayu yang dikejar tak dapat kerana segmen tersebut masih kekal bersama PN sekurang-kurangnya sehingga PRU16.
Manakala undi bukan Melayu yang mula diperolehi pula “berisiko hilang apabila mereka menyampah dengan gaya politik lama yang cuba dihidupkan semula oleh segelintir pemimpin Umno,” kata Yusri.
Gaya politik lama yang beliau maksudkan rasanya ramai yang dah masak. Gelagat si ketua Pemuda Umno juga antara yang boleh atau telah menjauhkan masyarakat bukan Melayu daripada Umno, malah dalam kalangan Melayu ada juga tidak berkenan akan game yang Akmal Saleh main.
Jangan lupa desakan serta tuntutan Umno agar Najib Razak diberi ‘keadilan’ amat memualkan dan meloyakan majoriti orang Melayu dan orang bukan Melayu, kerana majoriti rakyat percaya Najib sudah diberi cukup keadilan menerusi proses perundangan — sembilan orang hakim arif telah membuat keputusan adil.
Maka semua ini, Umno sendiri mahu ingatlah.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.