
Pengumuman bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya mendapat peruntukan wakil rakyat seakan-akan menerbitkan keterujaan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang bahawa penantian mereka selama ini juga akan berakhir.
“Kami ini mewakili rakyat. Sudah tiga kali (2023, 2024 dan 2025) peruntukan Ahli Parlimen tidak diberi, iaitu RM 3.8 juta ke RM 4 juta (setahun), ini bererti peruntukan kami hampir RM12 juta (yang belum diberi).
“Bagi balik dan bagi terus kat rakyat tapi melalui kamilah sebab kami wakil rakyat dipilih, bukan diberi kepada ahli politik yang lawan dengan kami kalah tapi dapat peruntukan,” kata Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dalam sidang medianya di Parlimen 22 Julai lalu.
Sehari sebelum itu, Syed Saddiq — yang menarik diri sebagai penyokong kerajaan perpaduan dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat pada 10 Sept 2023 — memaklumkan akhirnya menerima peruntukan RM200,000 selepas lebih 500 hari berunding.
Berselang cuma seminggu selepas menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Peruntukan sepatutnya diterima bagi kegunaan kawasannya ditarik balik tanpa berlengah.
Meskipun tidak dinyatakannya secara khusus, Ahli Parlimen Muar itu jelas terkilan dengan peruntukan terbaharu diterimanya kerana tidak sama rata dengan Ahli Parlimen penyokong kerajaan sebanyak RM20 juta bagi satu penggal, sebaliknya hanya peruntukan untuk tujuan pentadbiran seperti bayaran sewa pejabat, gaji staf dan peralatan.
Dari tarikh Anwar mengangkat sumpah selaku perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2022, peruntukan sama rata yang dituntut pembangkang – seperti terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dipengerusikan Anwar menjelang PRU15 – adalah pertikaian paling lama yang belum selesai hingga sesetengah pihak melihatnya sebagai isu menjemukan kerana tiada kesudahan.
Dalam pada ia terus menimbulkan ketidakpuasan hati pembangkang yang berasa seperti dipermainkan, sebahagian kesalahan juga adalah gara-gara mereka sendiri yang enggan menerima pelbagai syarat rundingan, termasuk keputusan sebulat suara pada 15 Sept lepas untuk menolak perjanjian persefahaman (MoU) yang ditawarkan kerajaan.
Mereka berkeras dengan pendirian bahawa peruntukan pembangkang hendaklah diberikan tanpa sebarang syarat sambil Anwar – di sebalik bertegas dari mula tiada syarat perlu menyokongnya — tidak berganjak dengan ketetapan jika tiada rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof maka tiadalah peruntukan buat mereka.
Retorik dalam mencari kata sepakat di antara kedua-pihak pula ibarat jongkang-jongket dengan lebih kecenderungan kedua-dua pihak untuk tidak bersetuju dalam banyak perkara hingga tiada sebarang kemajuan dicapai hingga ke saat ini.
Yang terakhir pada 1 Mac lalu, Fadillah memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa bagi membincangkan cadangan berhubung pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang masih belum dapat ditubuhkan kerana pembangkang belum mengemukakan dokumen rasmi perincian cadangan mereka.
Di pihak pembangkang pula, mereka mendakwa disyaratkan menghantar surat kepada timbalan perdana menteri dahulu sebelum jawatankuasa berkenaan ditubuhkan – melanjutkan lagi pertikaian pihak mana yang harus mengambil langkah mula.
Tidak hanya merugikan pembangkang yang seperti terus terharap-harap buah yang tidak gugur, pada masa sama ia juga tidak memberi gambaran baik terhadap kerajaan perpaduan yang komited terhadap pelbagai janji reformasi institusi tetapi gagal menyelesaikan perkara semudah ini. Lebih buruk apabila Anwar turut dituduh mengamalkan politik balas dendam.
Selepas gagal mendapat reaksi diharapkan dalam sidang medianya 22 Julai lalu, Shahidan memanfaatkan pula sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, Selasa lalu untuk memanjangkan lagi isu itu.
Memilih untuk lebih berdiplomasi, bukan main melambung pujiannya terhadap perdana menteri atas kejayaannya membawa Thailand dan Kemboja ke meja rundingan hingga menyaksikan gencatan senjata kedua-dua pihak dicapai 28 Julai lalu.
“Jadi Yang Berhormat telah berjaya. Apakah Yang Berhormat bercadang di negara sendiri Yang Berhormat ingin memberi keadilan kepada rakyat Malaysia dengan memberi peruntukan kepada semua ahli Parlimen?,” soalnya.
Rakan-rakan di blok pembangkang riuh dengan derai ketawa sambil Anwar ditunjukkan tersenyum mendengar kata-kata ‘baik yang ada makna itu’.
“Benda yang baik kami puji, sebagai seorang pemimpin kita puji. Semua ucapan (ahli pembangkang) puji. Tapi yang malangnya yang sikit itu. Jadi Yang Berhormat pada hari yang berbahagia ini, Yang Berhormat umumkanlah sikit bahawa semua ahli Parlimen akan diberi keadilan,” tambah Shahidan.
Bagaimanapun, Anwar bukan saja tidak termakan pujian, malah membidas sikap pembangkang sendiri yang tidak sepakat apabila ada yang bersetuju dan ada yang menolak untuk berunding dengan kerajaan berhubung perkara tersebut.
Jika dirujuk kembali, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelumnya menjadi halangan utama kepada sebarang rundingan, baik dalam membincangkan Mou berkaitan peruntukan mahupun penubuhan jawatankuasa untuk membolehkan kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan.
Barangkali atas desakan sebilangan ahli Parlimen pembangkang sendiri yang mengharapkan peruntukan, Muhyiddin kemudian mengubah pendiriannya untuk bersetuju berunding seperti dinyatakan ketua whip PN Takiyuddin Hassan dalam suratnya kepada Fadillah.
“Kita dah mintak TPM2 (Fadillah) terbuka untuk mendengar. Cuma kalau mula, dia mesti ada kesepakatan ahli Parlimen pembangkang dulu. Sekarang belum ada sepakat, ada yang nak seorang, ada nak berkumpulan, ada yang setuju berunding, ada yang tak setuju berunding.
“Saya cadang Yang Berhormat Arau runding dulu dengan PN, ambil kata sepakat, bagitau TPM2 yang kita telah beri mandat (runding soal peruntukan). Jadi hal itu, saya serah kepada TPM2,” katanya.
Membantah jawapan itu, ketua pembangkang Hamzah Zainudin mempertahankan bahawa kesalahan tidak harus diletakkan kepada pembangkang semata-mata sambil membayangkan sikap berdolak-dalik kerajaan turut melengahkan sebarang penyelesaian.
Jika demikianlah keadaannya, maka titik persamaan akan semakin sukar dicari kerana kesudahannya ia akan menuntut kedua-dua pihak untuk berkompromi bagi mencapai kata sepakat agar peruntukan dapat diberi.
PN harus sudah dapat melihat petandanya. Keengganan duduk semeja berunding dengan kerajaan hanya memungkinkan Ahli Parlimen pembangkang terus melopong tanpa peruntukan sehingga habis penggal Parlimen Ke-15 ini yang berbaki kira-kira 28 bulan lagi.
Mereka yang memilih untuk menyusahkan diri sendiri walhal kerajaan sudah banyak berkompromi dengan menawarkan pelbagai langkah pemudah cara yang bukan sahaja tidak dihargai, malah dipolemikkan dengan tuduhan Anwar tidak ikhlas dan menggunakan isu peruntukan untuk menekan pembangkang.
Bukan pujian melangit kepada perdana menteri yang perlu dihamburkan, sebaliknya memadai dengan pembangkang sedikit berlembut untuk bersetuju dengan syarat-syarat rundingan yang boleh dibincangkan bersama.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.