
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata Presiden Zahid Hamidi mungkin membiarkan gaya politik Akmal yang sering mencetuskan kontroversi kerana wujud ‘ancaman jelas dan nyata’ di sebelah kanan politik, yang kini dikuasai Perikatan Nasional (PN).
“Pendekatan lama dibawa Akmal itu perlu dari segi politik pada hari ini. Saya fikir Akmal dan mungkin juga kepimpinan parti, sedar perkara ini serta membenarkan apa yang dilakukannya kerana kita tidak mahu dipintas dari sebelah kanan.
“Jika Akmal tidak sekurang-kurangnya cuba mengisi ruang itu, saya fikir kita akan melihat sokongan Melayu di situ mengalir keluar dengan banyak,” katanya dalam program The Breakfast Grille terbitan BFM.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pengacara Sharaad Kuttan bagaimana Umno menguruskan kedudukannya dalam kerajaan perpaduan, memandangkan gaya politik Akmal yang sering memainkan isu identiti dan mencetuskan pertikaian tidak memudahkan hubungan parti itu dengan rakan gabungannya.
Khairy berkata sebab itu peranan berkenaan dimainkan Akmal dan bukannya Zahid.
“Akmal memegang jawatan yang tepat sebagai ketua Pemuda Umno kerana sayap itu secara tradisinya menjadi ‘jentera pendesak’ parti.
“Saya tidak memainkan peranan tradisi sebagai penggerak sentimen akar umbi ketika menjadi ketua Pemuda Umno, walaupun ada juga masanya. Tetapi hari ini, dengan isu-isu identiti digunakan sebagai senjata politik untuk mendapatkan sokongan Melayu, Akmal perlu memainkan peranan itu,” katanya.
Khairy berkata, Zahid berkemungkinan melihat Akmal sebagai ‘penampan’ bagi politik sedemikian, sambil beliau sendiri menampilkan diri sebagai pemimpin parti yang lebih bersifat negarawan dan mampu mengawal pandangan yang bercanggah.
“Akmal menzahirkan pandangan orang Melayu yang tidak selesa dengan isu berkaitan identiti. Tetapi akhirnya, sebagai presiden parti, Zahid akan mengawal isu-isu ini, dan kita boleh bercakap mengenai gabungan yang melangkaui perkara tersebut,” katanya.
Khairy turut mempertahankan keputusannya menyertai semula Umno, dengan berkata parti itu menjadi wadah semula jadi bagi ideologinya dan tempat beliau paling selesa sebagai ahli politik.
Meminjam istilah yang pernah digunakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Khairy menyamakan Umno dengan ‘khemah besar’ yang membolehkan tokoh seperti dirinya dan Akmal berada dalam parti sama.
“Kami mempunyai pendekatan politik yang sedikit berbeza sebagai bekas dan ketua Pemuda Umno, tetapi kami boleh wujud bersama,” katanya.
“Saya akhirnya percaya, apabila keadaan dalaman parti kembali reda, Umno akan kekal sebagai parti nasionalis Melayu yang sangat bersifat pertengahan, komited bekerjasama dengan MCA dan
MIC, serta cuba mencari titik tengah yang sesuai untuk Malaysia.
“Ia bukan formula sempurna untuk semua pihak, tetapi ia formula yang pernah berkesan. Saya fikir formula itu masih relevan, sekurang-kurangnya untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.