Jangan hantar cucu saya ke sekolah awam

Jangan hantar cucu saya ke sekolah awam

Bagi saya masalah buli ini telah menjadi suatu 'pandemik'.

tajuddin rasdi

Saya selalu berpesan kepada semua anak-anak saya yang sudah berkeluarga atau yang akan berkeluarga: Kalau kamu ada anak, ayah pesan tolong jangan hantar mereka bersekolah di sekolah awam. Mana-mana sekolah sekalipun, walau sehebat mana sekolah itu dengan beratus pelajar A+ atau kecemerlangan.

Saya dah lama hilang kepercayaan kepada guru sekolah, pegawai pendidikan, kementerian dan segala prasarana yang berkaitan. Pedih hati ayah mendengar anak kena pukul sampai masuk hospital angkara budak-budak MRSM atau sekolah berasrama penuh. Yang kena belasah dan yang membelasah, sambil ada juga si bahlol mengambil video untuk sosial media pun bersepah-sepah.

Kementerian masih anggap semua masalah buli dan pukul ini sebagai ‘one-off incident‘. Bagi saya masalah buli ini telah menjadi suatu ‘pandemik’. Kalau saya nak buat research dan petik carian komputer, nanti malu pula kementerian. Saya tak salahkan menteri tetapi saya salahkan keseluruhan ekosistem kementerian dari guru sehingga penjawat awam. Dengan tenaga beratus ribu pegawai, anak-cucu kita saya jamin tak akan selamat.

Saya sudah berusia 63 tahun. Entah berapa lama lagi saya bekerja untuk mengumpul dana supaya cucu-cucu saya selamat di sekolah swasta. Tak kira lah yang mengaji agama di sekolah Abim atau pun di sekolah swasta kurikulum antarabangsa atau pun lokal. Saya dulu terpaksa menyediakan wang untuk tiga anak saya ke sekolah swasta. Dua tertua ada juga terkena tempias buli kata-kata kesat tetapi tidak sampai kecederaan fizikal.

Apa dah nak jadi pada anak-cucu kita di sekolah awam pada hari ini? Tunggu masa saja mereka akan dikepung dan dibuli dan kita doa jangan sampai kecederaan yang tidak boleh berubat lagi. Kenapa susah sangat nak jaga anak cucu kita di sekolah? Ramai sangatkah pelajar kita? Adakah kita mencapai julat kesesakan atau sampai guru tak reti baca air muka murid?

Teruk sangatkah reka bentuk sekolah kita yang macam gedung simpanan barang? Apa pula yang diajar di institut latihan sampai entah ada kurikulum atau tidak tentang macam mana nak cam mangsa buli dan kaki buli? Kita tak ada masalah Amerika Syarikat di mana budak-budak 14 tahun pun boleh galas senjata automatik tembak rakan dan guru.

Soalan saya kepada si penjawat awam yang dah berpuluh tahun bekerja sebagai guru atau pegawai tadbir — what the hell are you doing, man?

Saya ada beberapa cadangan yang saya kira tak susah pun. Pertama, susah sangatkah untuk setiap guru diwajibkan berkursus tentang mengecam masalah buli dan keadaan serta situasinya?

Saya kira ilmu tentang subjek ini sudah diketahui secara meluas. Apakah kesimpulan profil pembuli dan keadaan buli dari sudut masa, tempat dan isu didokumentasi dan dikaji selidik supaya ia boleh menjadi bahan pengajaran untuk kursus perguruan tentang buli? Dengan berlori-lori pegawai PhD mana dia laporan atau buku tentang kes-kes buli dan corak serta kaedah kenal pasti sebelum ia berlaku telah dipelajari semua guru?

Di sekolah Clovenstone, Edinburgh, saya berpeluang melihat anak-anak saya bergaul dan bermain pada waktu rehat. Saya mengamati bahawa ada beberapa orang dewasa mengawasi kanak-kanak yang dibahagikan kepada tiga kumpulan berasingan: Tahun 1 dan 2 ada satu playground khusus, dan Tahun 3 dan 4 ada playground yang lain, dan Tahun 5 dan 6 juga playground berasingan. Pengawas akan mengamati jika berlaku perkelahian atau buli dan akan sempat mengambil tindakan. Soalan kedua, kita di Malaysia tak boleh buat macam itukah?

Mungkin mengasingkan masa rehat bagi setiap dua tahun persekolahan supaya pengawas dewasa boleh meronda setiap pelusuk sekolah. Janganlah harap pengawas pelajar saja. Mereka yang kemungkinan dibelasah pelajar samseng di dalam atau di luar sekolah. Pokok pangkalnya saya rasa tak susah nak kenal si pembuli sebab dia selalu ada clique. Kita kenal pasti clique itu dan awasi mereka dan mungkin kita boleh tanya pelajar lain tentang mereka.

Soalan ketiga, adakah reka bentuk sekolah memang cukup baik untuk si pembuli buat kerja? Saya pernah menyelia beberapa pelajar seni bina tentang hot-spot dan blind-spot yang boleh direka bentuk semula atau pun diletak CCTV supaya tempat-tempat negatif akan dipantau selalu.

Soalan keempat, adakah si pembuli masuk semula ke sekolah atas sebab politik ibu bapa atau networking mereka? Mana kajian tentang berapa ramai si pembuli yang tidak dibuang sekolah, cuma pindah kelas atau ke sekolah lain. Apakah cara ini efektif atau menjadikan perkara ini lebih teruk?

Akhir sekali, adakah kita mempunyai sekolah ‘boot camp’ untuk si pembuli. Boot camp adalah sekolah yang akan ‘mengajar’ si pembuli ini supaya mereka rasa langit tinggi atau rendah. Sekolah ala ketenteraan ini hanya mempunyai dua objektif saja, disiplin yang kuat dan sifat menghormati manusia lain. Sains tak perlu A, matematik tak perlu B, cuma ajar mereka jadi manusia baik. Selepas itu barulah mereka boleh dihantar secara ‘probationary’ atau cubaan dengan reporting seperti banduan yang diparol.

Hanya mengambil tindakan selepas anak cucu kita dibuli is totally unacceptable! Nasi dah jadi bubur. Anak cucu dah trauma. Pokok pangkal, anak cucu kita semua tak selamat di sekolah awam dan sekolah asrama penuh kerajaan. Saya dah lama hilang kepercayaan. Mungkin generasi lain akan meminta kementerian dan penjawat awam menjawab kelima-lima soalan saya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.