
Ramai rakyat Malaysia termasuk saya sendiri, sedang menunggu dengan penuh minat pengumuman Rafizi Ramli mengenai hala tuju politik baharunya yang dijangka dibuat hujung minggu ini.
Adakah beliau akan menubuhkan parti baharu? Jika ya, berapa ramai calon akan ditampilkan pada pilihan raya umum akan datang? Lebih penting, adakah parti itu akan mencabar Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara serentak?
Adakah kita bakal menyaksikan versi Malaysia bagi kisah David menentang Goliath? Mungkin. Tetapi bab itu boleh kita tunggu sehingga Jun nanti.
Buat masa ini, saya ada beberapa persoalan sendiri.
Apakah sebenarnya rekod Rafizi? Sebagai menteri ekonomi, beliau memperkenalkan beberapa program seperti Pangkalan Data Utama (PADU) dan Inisiatif Pendapatan Rakyat, termasuk skim mesin layan diri.
Idea-idea itu memang besar dan bercita-cita tinggi. Namun, cita-cita sahaja tidak memadai.
Seorang saudara rapat saya di Bagan Serai masih bergelut tanpa pendapatan tetap sejak 2022. Dia hanya bertahan dengan bantuan keluarga, bukan melalui sebarang bantuan yang jelas boleh dikaitkan dengan Kementerian Ekonomi.
Sepasang suami isteri yang saya kenali pula membesarkan enam anak dan menerima bantuan daripada rakyat biasa, tetapi bukan daripada Putrajaya.
Mungkin ini hanya kes terpencil. Namun, apabila program besar diumumkan di ibu negara, ukuran sebenar kejayaannya ialah sama ada bantuan itu benar-benar sampai kepada keluarga di tempat seperti Bagan Serai.
Kemudian, ada pula inisiatif mesin layan diri. Adakah mesin-mesin ini benar-benar berkembang seperti yang pernah dibayangkan? Di mana semuanya? Setakat ini, saya belum melihatnya wujud dalam jumlah yang benar-benar bermakna.
Untuk berlaku adil, mungkin PADU dan inisiatif mesin layan diri memerlukan lebih banyak masa. Namun Rafizi memilih meninggalkan Kabinet, dan sejak itu beliau kelihatan lebih bertenaga di luar kerajaan berbanding ketika berada di dalamnya.
Selepas tewas dalam pemilihan jawatan timbalan presiden PKR dan meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi, beliau kembali aktif melalui program audio siar, dengan kerap mengkritik partinya sendiri dan kerajaan.
Itu hak beliau. Kritikan adalah sesuatu yang sihat. Namun, timbul juga persoalan: apakah yang mungkin berlaku jika ketekunan dan ketajaman yang sama digunakan untuk memastikan PADU dan Inisiatif Pendapatan Rakyat benar-benar berjaya?
Sekarang, mari kita lihat kemungkinan perjalanan politiknya pula. Katakan Rafizi menubuhkan parti baharu dan, dengan satu keajaiban, memenangi 20 kerusi. Adakah beliau akan bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan? Atau adakah beliau akan bersama PAS atau Umno dalam satu lagi kerajaan perpaduan?
Politik memang pelik. Dahulu, kerjasama antara Umno dan PH kelihatan mustahil, tetapi hari ini ia sudah menjadi kenyataan.
Namun Rafizi berdepan satu masalah besar: kepercayaan. Beliau belum benar-benar menunjukkan beliau mampu bekerjasama dengan mana-mana parti untuk tempoh yang panjang.
Sesiapa yang menjadi rakan politiknya perlu menerima risiko bahawa mereka pula mungkin menjadi sasaran dalam program audio siarnya jika hubungan menjadi tegang.
Hakikatnya, Rafizi mungkin lebih selesa berada di pihak pembangkang — bersenjatakan data, rujukan dan mikrofon.
Tetapi politik bukan bilik seminar. Politik menuntut kesabaran, kompromi dan kemampuan membina gabungan. Ia menuntut seseorang bekerja walaupun dengan pihak yang tidak disukainya, kerana negara tetap memerlukan sebuah kerajaan.
Sekarang, bayangkan pula kemungkinan yang lebih besar: bagaimana jika Rafizi benar-benar mencipta keajaiban, memenangi 112 kerusi dan menjadi perdana menteri Malaysia ke-11?
Mampukah beliau mengawal PAS, Umno, Bersatu dan pihak-pihak lain yang tidak pernah segan memainkan sentimen kaum atau menimbulkan kebimbangan mengenai hak Melayu?
Jika beliau mampu melakukannya, saya dengan senang hati akan menyebutnya sebagai satu magis. Lebih penting, ia sesuatu yang baik untuk Malaysia.
Jadi, mungkin sudah tiba masanya untuk Rafizi membuktikan kata-katanya dan berdepan sendiri dengan parti-parti besar pada pilihan raya akan datang.
Dengan cara itu, rakyat Malaysia bukan sahaja dapat mendengar idea-ideanya, tetapi juga menilai sama ada idea-idea itu mampu bertahan dalam keras dan kotornya dunia politik sebenar.
Saya masih berharap untuk melihat ‘magis’ atau keajaiban Rafizi. Ramai rakyat Malaysia juga begitu. Tetapi magis semata-mata tidak mencukupi.
Rafizi perlu membuktikan beliau mampu bertahan, menyelesaikan reformasi yang dijanjikannya dan tidak mengangkat bendera putih di tengah jalan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.