
Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka semalam sekurang-kurangnya menghilangkan kehausan pesertanya berdemonstrasi semula selepas sekian lama, sambil penganjur Perikatan Nasional (PN) terpaksa bertegang urat mempertahankan jumlah kehadiran daripada menyebabkan mereka jatuh air muka kerana pelbagai angka yang tersasar.
Pada ketika peserta demonstrasi itu mula berhimpun di ibu negara, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang disasarkan mereka untuk dikenakan tekanan segera meletak jawatan, meneruskan jadual rasmi seperti biasa tanpa menunjukkan sebarang rasa terkesan.
Pada sebelah paginya, perdana menteri menghadiri edisi ke-50 Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Selepas perhimpunan di Dataran Merdeka bersurai, Anwar berpesan melalui satu catatan di Facebook agar seteru politiknya menyuarakan kebimbangan kepadanya di Parlimen dan bukan hanya di jalanan.
Berlawanan dengan teguran Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan supaya perdana menteri mengambil perhatian apabila melihat rakyat berkumpul di jalanan membantah kedudukannya dan bukan hanya menunggu undi tidak percaya di Parlimen, Anwar mempertahankan beliau kekal berpegang prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara dan mengkritik.
Pembangkang sedar mereka tidak akan pernah cukup jumlah untuk usul tidak percaya terhadap Anwar diluluskan, lantas memilih demonstrasi jalanan agar perdana menteri dapat dikenakan tekanan meletak jawatan – suatu keyakinan yang sebenarnya sangat jauh tersasar.
Sekurang-kurangnya dua orang – Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz dan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil – mencabar Anwar membuktikan dirinya ‘anak jantan’ dengan mengusulkan undi tidak percaya terhadapnya dilakukan melalui undian sulit.
Cabaran sedemikian hanya selayaknya ditertawakan, tambahan dengan berkuatkuasanya Akta Anti Lompat Parti pada 5 Okt 2022. Benar seperti diramalkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi pada Jumaat bahawa perdana menteri tidak akan berdebar-debar, sebaliknya PN terutama PAS yang akan lebih gemuruh mengenai jumlah sebenar kehadiran peserta Himpunan Turun Anwar dibandingkan dengan 500,000 disasarkan parti itu.
Malah, Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin ramal ia boleh mencecah sejuta orang berdasarkan ‘seribu isu’ yang sedang dihadapi rakyat. Betapa semuanya meleset kerana asas kepada perhimpunan itu kononnya Anwar campur tangan dalam pelantikan institusi kehakiman awal-awal sudah runtuh dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melantik Hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai ketua hakim negara baharu 18 Julai.
Pembangkang sebelumnya dikatakan tidak berpuas hati kerana Anwar kononnya mahu mengangkat nama hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang ditegaskannya tidak pernah diusulkan untuk menjadi ketua hakim negara, sebaliknya spekulasi itu hanya ditimbulkan peguam yang bermain politik.
Hilang asas untuk perhimpunan itu, mereka mengalihkannya pula kepada dakwaan kegagalan Anwar menangani masalah ekonomi termasuk kos sara hidup yang terus meningkat sebagai menggerakkan massa bagi menentang kepimpinannya.
Pada penghujungnya, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dakwa 500,000 hadir pada himpunan itu – mengatasi sasaran lebih 300,000 – tanpa dihuraikan bagaimana angka itu diperoleh, manakala Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan menyatakan sukar mengesan 3,000 orang India dalam kalangan 300,000 yang hadir.
“Maruah PAS terjejas jika jumlah kehadiran 500,000 tidak tercapai,” kata Puad sambil mendakwa PAS lebih memberi fokus kepada jumlah kehadiran peserta demonstrasi itu. Lantas, dakwaan Fadhli mengenai kehadiran 500,000 peserta – lidah rasmi PAS Harakahdaily menganggarkan 300,000 setakat 3 petang, berbanding Malaysiakini menganggarkan hanya kira-kira 25,000 — lebih kepada menjaga air muka.
Tidak perlu dihiraukan sangat anggaran Pemuda PN melebihi 200,000 yang dibasahi hujan seketika berdasarkan kiraan sendiri pada ketika Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Usuf Jan Mohamad menganggarkan sekitar hanya 18,000 turut serta – berbanding jangkaan asal 10,000-15,000 – hingga mendorong jumlah pegawai dan anggota polis ditingkatkan 1,000 lagi kepada 3,000 anggota pada saat-saat akhir.
Malah, peserta demonstrasi semalam bertuah kerana ia berlangsung aman – tanpa semburan air berkimia dan gas pemedih mata seperti jadi tontonan pada masa lalu – sebahagiannya kerana Anwar yang mendukung prinsip demokrasi membenarkan perhimpunan secara aman dan mahu polis mempermudah keadaan dan bukan menyulitkan.
Berbanding sorakan Anwar meletak jawatan dalam ucapan setiap pemimpinnya, kejayaan terbesar pembangkang ialah dapat menampilkan bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad yang dulunya dikenali mencemuh protes jalanan sepanjang pentadbirannya.
Sebagai rekod, Mahathir turut hadir demonstrasi Bersih 4 di Dataran Merdeka pada 30 Ogos 2015 untuk menuntut perdana menteri ketika itu Najib Razak meletak jawatan berkait skandal 1MDB – antara perhimpunan terbesar yang menyaksikan kehadiran kira-kira 200,000.
Kehadirannya ketika itu dilihat sebagai satu titik peralihan dalam politik Malaysia apabila beliau kemudian bekerjasama dengan penyokong Bersih dan pemimpin pembangkang menubuhkan Pakatan Harapan yang berjaya menumbangkan Najib pada PRU 2018.
Dalam pada itu, Mahathir sendiri tidak pernah berdepan undi tidak percaya terhadapnya selaku perdana menteri di Parlimen. Pada 1997, beliau mengusulkan undi percaya di sebalik kritikan antarabangsa yang mudah dimenanginya.
Kemudian, ketika krisis politik 2020 apabila gabungan diketuainya tumbang dan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, Mahathir mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin tapi usul itu tidak pernah dibahaskan.
Pada akhirnya Mahathir tidak pernah berhadapan usul undi tidak percaya terhadapnya selaku perdana menteri. Apakah kini beliau berpendirian usul undi tidak percaya bukan pilihan demokratik untuk menurunkan Anwar, sebaliknya lebih percaya kepada protes jalanan sebagai pilihan tunggal?
Sekurang-kurangnya 18,000 yang menyertai perhimpunan semalam terhilang kehausan mereka untuk berdemonstrasi selepas sekian tahun – walaupun serak suara bersorak ‘turun, turun Anwar’ – tanpa ia boleh mengubah apa-apa.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.