
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah menunjukkan kerakusan Israel dalam menyekat bantuan kemanusiaan serta menindas pihak yang tampil mempertahankan rakyat Palestin.
“Malaysia lantas mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu Ketua Pengarah Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Malaysia Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, setakat 7 petang tadi (waktu Malaysia), jumlah rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ditahan tentera Israel setakat ini meningkat kepada 16 orang.
Kesemua 16 rakyat Malaysia itu menaiki sembilan kapal, sebahagian daripada 15 yang dilaporkan dipintas dan diceroboh rejim Zionis.
Menurut Sany, 15 kapal flotilla dipintas tentera Israel dalam gerakan itu terdiri daripada Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaris, Isobella, Josef, Tenaz, Bianca Ita, Abodes, Gotico dan Themis (Freedom Flotilla).
Ketika ini, 37 kapal flotilla yang membawa 13 lagi rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju Gaza, walaupun berdepan risiko keselamatan tinggi susulan ancaman pemintasan dan tindakan agresif berterusan tentera Israel.
Sementara itu, Anwar menegaskan dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap tindakan Israel ke atas rakyat Palestin dan aktivis kemanusiaan.
“Penindasan ke atas warga Palestin dan kepada mereka yang menggerak serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera dan Israel mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban,” katanya.