Kita pengecut

Kita pengecut

Nama makanan sendiri pun dirasakan kekampungan dan lucu. Budu, tempoyak, cencaluk bunyinya memalukan agaknya.

ronasina

Suatu ketika kawan saya muat naik gambar sepiring lempeng pisang di Facebook dengan kata-kata, “inilah menu sarapan saya hari ini sebagai orang kecil, marhaen lagi sederhana. Jemput makan!”. Saya tanya kepadanya mengapa sebut ‘orang kecil’?

“Yelah! Kita makan lempeng pisang je. Bukan makan spaghetti atau burger,” jawab dia.

Itulah kita, bebel saya. Terlalu rendah diri dan sering berasa kecil. Sepatutnya kita wajar megah dengan lempeng pisang kita, bukannya berasa hina.

“Yelah! Bunyi perkataan lempeng tu pun dah kelakar, kau tau?” balasnya.

Memang kita ini berjiwa kecil. Nama makanan sendiri pun dirasakan kekampungan dan lucu. Budu, tempoyak, cencaluk bunyinya memalukan agaknya. Sebab itulah nama kugiran pun kita letak nama Inggeris supaya nampak gah walaupun permainan tak segah yang ditiru. Makanan luar itupun namanya bukanlah hebat sangat tapi kita rasa ia besar dan bersifat antarabangsa. Apa kurangnya lempeng pisang? Adunannya mahal, sedap dan amat berkhasiat. Kita mesti ada semangat untuk mengangkatnya ke peringkat dunia.

Kawan saya tergelak kecil. “Hal lempeng pisang pun kau nak bercerabih tentang semangat dan jati diri bangsa.”

“Kenapa tak boleh? Mengapa kita malu? Apa bezanya pizza, pancake dengan lempeng pisang atau lempeng kelapa? Bezanya mereka berbangga dengan pizza dan berusaha mengangkatnya sehingga pizza jadi terkenal seantero dunia. Walhal, kalau dah sejuk tak sedap langsung. Keras-kering je!” sungut saya. “Lempeng, lepat atau cekodok — dah sejuk pun masih sedap!”.

“Ikut selera kita sendiri memanglah sedap. Mana maunya orang luar makan cekodok sejuk?”

Kawan saya masih tak yakin akan kehebatan kita. Sama seperti kawan-kawan lain lebih-lebih lagi yang tak berjalan jauh. Pesimis!

Saya teringat cerita teman baik saya, Rizal Hamdan — seorang kolumnis di akhbar online New Straits Times ketika dia belajar di UK, rakan sekelas mereka yang terdiri daripada berbagai bangsa dan negara merancang untuk membuat jamuan. Menunya apa sahaja asalkan berasaskan pisang. Rizal pun puas memikirkan apa yang hendak dibuat. Dia pasti di majlis tersebut tentu sudah ada yang buat kek pisang, roti pisang, banana milkshakes, pudding atau pie pisang, banana split dan berbagai lagi. Fikir punya fikir akhirnya Rizal buat cucur pisang.

“This is banana ball or cekodok pisang,” katanya kepada rakan-rakan sekuliah. Tahu apa jadi? Cekodoknya habis licin tak sampai lima minit dia masuk ke rumah yang menganjurkan majlis itu. Sedap, kata mereka.

Kita, entah kenapa — barangkali disebabkan penjajahan ke atas bangsa kita terlalu lama seperti yang diperkatakan oleh para pemikir — telah menyebabkan kita buta sejarah, tak kenal budaya, berasa rendah diri dan lemah keyakinan. Kesannya begitulah, apa yang kita ada tak kita banggakan sebaliknya kita ragu-ragu dengannya. Bila berdiri di tengah bangsa-bangsa lain di dunia, kita selalu berasa kerdil dan kecil. Ini sedar tak sedar menjadi tabiat semulajadi kita. Semua yang kita ada kita rasa terlalu kecil untuk berlawan dengan mereka. Dalam bab makan-makan pun kita rasa terkebelakang.

Negara mana yang terkenal dengan teh tarik, roti canai dan nasi lemak? Kitalah! Tetapi, apa rasanya kita bila pergi ke luar negara kita dapati menu tersebut ada di restoran yang diusahakan oleh negara jiran dan mereka berkepak menyatakan itu menu asal mereka? Marahlah kita! Tapi, disebabkan itu perniagaan dia, dia yang melabur dan keluarkan modal — mestilah dia ‘claim’ begitu. Kita dok nganga ajelah!

Tengoklah makanan Jepun dan Korea yang berjaya menembus dengan banyaknya di negara kita. Generasi kita sudah tak asing lagi dengan oden, kimchi, teriyaki atau sushi dan macam-macam lagi. Ramai yang beratur panjang nak beli. Dalam pasaran dunia terbuka hari ini yang mana-mana negara boleh sahaja berniaga di mana-mana dalam dunia ini, kita pula yang tak mampu menyerang negara luar. Padahal, menu kita memang sedap dan sangat beraneka rasa apatah lagi jika keaslian rasa sebenarnya dikekalkan dengan ramuan yang betul-betul tulen. Memang cukup lazat dan memang terangkat. Tapi, di luar sana kita tak ada.

Saya pernah ke Amerika Syarikat, China dan beberapa negara Eropah. Cemburu juga ada restoran dari Singapura dan Indonesia yang makanannya sama sahaja dengan kita. Mereka bukan sahaja mempersembahkan makanan mereka tetapi secara tak langsung membawa nama negara. Restoran makanan Nepal pun ada di bandaraya San Francisco itu.

“Are you Nepalese?” tanya pelayan restoran berbangsa Nepal kepada saya.

“No. I’m Malaysian.”

Saya terbayang warga Nepal di Malaysia yang hanya kita kenal sebagai pengawal keselamatan. Di luar sana, kita pun tak terlawan dengan mereka. Makanan mereka pun ada berempah macam kita. Macam restoran Indonesia dan Thailand, ada tomyam dan ada bakso. Ada juga teh tarik dan prata yang seperti roti canai tapi orang kenal itu hasil tangan merekalah.

Itu baru tentang makanan. Belum lagi tentang hal yang lebih besar. Kita selalu petik falsafah dan mutiara kata daripada ahli falsafah hebat dunia; dari Yunani hinggalah ke Timur Tengah sedangkan tok-nenek kita dulu juga handal ilmunya. Falsafah-falsafah bangsa kita ini jadi kecil dan lemah bila kita istilahkannya sebagai bidalan, peribahasa dan simpulan bahasa. Gelaran tersebut membuatkan ia tersudut padahal itu falsafah juga. Kalau tok-nenek kita cetek ilmunya takkan lahir ungkapan ‘sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betinanya’ atau perumpamaan lain seperti ‘bagai bulan empat belas’ (menggambarkan kecantikan wajah seorang wanita), ‘kalau kail panjang sejengkal lautan dalam usah diduga’, atau beribu bidalan dan perumpamaan lagi.

Saya selalu menyarankan kepada dunia pendidikan kita jika mahu latih anak bangsa dengan kemahiran berfikir kritis dan kreatif (KBKK), berlatihlah mengarang pantun. Mengarang pantun spontan memang berupaya menajamkan akal. Ia ada peringkat-peringkat dan beraneka ragam. Ada pantun dua kerat, empat kerat, lapan kerat dan lebih. Ada pantun tahap tinggi di mana pembayang pantunnya bukan sahaja sama ritmanya dengan maksud pantun tetapi ia berkait-rapat antara satu sama lain. Memang mencabar minda. Sedihnya, pantun dibuat lawak mudah di pentas jenaka seperti ‘anak Cina makan pengat, sendiri mau ingaaat….’.

Tidak bangga dan tidak mahu kenal dengan harta sendiri adalah bencana besar sesuatu bangsa. Bukanlah salah untuk belajar ilmu luar atau bahasa asing tetapi sampai lupa DNA sendiri, amatlah sedih. Ya, bagi sesetengah orang — ini tak penting. Walhal, China, Korea, Jepun apatah lagi dunia Eropah menguasai dunia dengan tidak melupakan budaya sendiri. Sebaliknya mereka menerapkan budaya mereka dalam dunia yang semakin moden.

Kita perlukan reformasi bangsa. Korea Selatan contoh terbaik untuk kita belajar. Bermula dari sekolah, kita harus menguasai teknologi, seni dan budaya sendiri untuk digabungkan dalam mengharung cabaran dunia masa kini. Tidak mustahil kita juga boleh naik.

“Aku baru makan lempeng pisang je kau dah membebel panjang sampai ke dunia luar dan jati diri. Apalah!” tempelak kawan saya sambil ketawa.

“Tapi, tak betul ke aku cakap?” tanya saya.

“Bukan tak betul tapi tak semuanya perlu dilihat oleh dunia. Biarlah makanan kita ni orang ramai tak tahu. Kalau terbuka sangat pun nanti susah juga kita. Semuanya mahal. Macam warung yang viral. Orang pun ramai kunjung hingga akhirnya tauke tergadai dengan tuntutan komersil. Warung sedap-sedap ni kita diam-diam je.” kata kawan saya sambil tergelak.

Ke situ pula dia. Barangkali mengelak untuk mengaku yang kita penakut, tak berjiwa besar. Saya terus membebel lagi kepada kawan saya sehingga dia tak menjawab, sebaliknya hanya ketawa dan ketawa.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.