
Ada satu cerita moyang kami yang tidak pernah diketahui benar atau palsunya. Menurut moyang dia menunaikan haji pada tahun 1880. Meskipun ada dalam kalangan kami-kami, cucu-cicit Puan mempertikaikan; kami pula memilih untuk mempercayainya.
“Puan ado banyak duit, sobab tu Puan bulih naik haji maso tu,” demikian arwah memulai cerita. Kami anak-anak memang lekas leka kalau Puan mulai melabun mengenang kisah-kisah lama dalam hidupnya. Sebab ia merupakan hiburan buat kami yang kadang sudah penat bermain lari kejar mengejar, memanjat pokok kundang, menangkap anak ayam atau berguling di bukit kecil depan rumah Alang.
Waktu itu kami yang paling kecil, ternganga mendengar kisah Puan. Bagusnya, setiap hari raya haji dia akan mengenang kembali pengalamannya di atas SS Jeddah.
“Puan naik di mana? Pulau Pinang atau Singapura?”
Dia ingat-ingat lupa, tetapi dari empat lima tahun dia mengulang babak yang sama itu, dia memberitahu bahawa dia naik dari Singapura. Ini kerana dia pernah menyebutkan sekali bagaimana dia menyeberang Muar untuk ke Johor Bahru dengan sampan.
Makanya kalau betul Puan belayar dari Singapura, maka tentu sahaja kapal itu mengangkat sauh untuk ke Pulau Pinang pada 17 Julai 1880. Cuaca begitu panas, dan seharusnya mereka tiba di Jeddah, dan masuk ke Mekah sebelum Disember, yang mana kelak cuaca dingin akan menyambut jemaah haji.
Apa yang mungkin menggiurkan untuk kami, setelah kami dewasa kelak ialah, pada tahun 1880 itu jugalah orientalis Belanda, Snouck Hurgronje ikut naik haji dan merakam bermacam-macam foto awal ibadah haji di era tersebut.
Akan tetapi kami tidak begitu mempedulikan hal Hurgronje dan catatan salahnya mengenai haji. Cerita moyang kami, bagaimana bahtera hajinya, SS Jeddah terkandas di Tanjung Guardafui, yakni perairan masuk Teluk Aden jauh lebih mendebarkan. Kapal itu membawa lebih seribu orang jemaah, meskipun rekod asal di Singapura mencatatkan jumlah penumpang dewasa adalah 953 orang.
Kapal haji ini bertolak ke Jeddah pada 20 Julai 1880 dari Pulau Pinang. 18 hari di lautan, kapal dipukul badai dan ombak besar nyaris menelan mereka menenggelamkan semuanya.
“Susah nak sembahyang atas kapal…” Puan menambah cerita. Kata Puan lagi muatan jemaah haji itu terlalu berlebihan dan ribut taufan melanda dalam perjalanan menuju ke Ceylon. Kasar angin dan ganas laut merosakkan banyak peralatan kapal tersebut, dan air memasuki kapal sejak 7 Ogos 1880. Kami menelan air liur mendengar tarikh tersebut, “Layar bertukar ganti pun koyak dibadai ribut. Puan ingat 7 Ogos, enjin kapal dah tak ado guno ek.”
Berhari-hari jemaah haji tidak makan, dan tanggapan semua adalah mereka akan berpusara di lautan. Dalam suasana panik untuk mengelakkan kapal itu karam, jemaah haji ditugaskan bergilir-gilir untuk membantu menceduk air yang memasuki kapal secara berterusan, “Kito perempuan kocik, bosa-bosa macam ekau ni pun kono tolong jugo. Tak ado yang terkecuali.”
Keadaan cemas itu juga memperlihatkan perangai bacul pemilik kapal British tersebut, iaitu Kapten Clark yang menyelamatkan diri bersama sebahagian kecil anak kapal dengan bot keselamatan. Penumpang yang ditinggalkan di atas SS Jeddah akhirnya bertindak sendiri menghantar isyarat kecemasan ‘we are sinking‘ di salah sebuah tiang layar dan ‘send immediate assistance‘ di sebuah tiang yang lain.
“Onam jam kapal kami terbuai-buai menanti tenggolam,” ujar Puan.
Takdirnya, mereka ditemukan oleh kapal wap British Antenor yang sedang dalam pelayaran dari Shanghai ke London bersama 680 orang penumpang.
“Den berdoa menyeru namo Nabi kito. Den beritahu den nak jumpo dio dan keluargo ek di Madinah. Den nak bertunggu-bertanggo di Madinah.” Puan bersungguh-sungguh memeri.
Kapten kapal Antenor, John T Bragg menurunkan bot dan menghantar pembantunya Randolph Campbell, bersama-sama empat orang krew untuk mengetahui apakah yang sedang dialami oleh SS Jeddah. Krew British Antenor mendapati bukan sahaja enjin kapal telah rosak, air laut juga bergenang dan memenuhi kapal setinggi tujuh atau lapan kaki, dan menanti masa untuk karam. Air dalam bilik enjin sendiri sudah mencapai lima kaki. Antenor kemudian nekad menunda SS Jeddah selama tiga hari membawa ke Yemen sehingga akhirnya, kedua-dua kapal ini berjaya berlabuh di Aden pada 11 Ogos, 1880 selepas asar.
Kapten Bragg tangkas membuat laporan penyelamatan SS Jeddah, tetapi dalam masa sama, si penakut Kapten Clark pula menuntut insuran ke atas kapal SS Jeddah dengan laporan konon semua penumpangnya karam. Laporan yang berbeza pengakhiran itu mencetuskan sensasi di akhbar Inggeris.
“Apa yang terjadi setelah itu Puan? Dapatkah Puan naik haji?”
Puan duduk menghirup susu campur teligu di atas kerusi malas menghadap jendela dengan pemandangan bukit. Puan tidak menjawab. Ingatannya bercampur-baur. Dia kemudian melabun kisah air zam-zam dalam tin zink, kisah Arab menyembelih unta, dan kisah moyang lelaki kami yang bergaduh dengan Badwi.
Hanya kemudian Alang menyudahkan cerita, bagaimana pada 29 September 1880, SS Jeddah meneruskan juga pelayaran ke Pelabuhan Jeddah untuk menghantar baki 269 orang jemaah haji, “Ramai yang berjaya menumpang kapal lain untuk ke Jeddah, tetapi Puan masih sunti; dia tak dapat naik bersama-sama mereka. Pun Puan tiba sebelum musim haji.”
Peristiwa SS Jeddah itu nampaknya membuatkan industri perkapalan yang didominasi British serasa malu aib dan perubahan besar-besaran di lakukan ke atas kapal haji, meskipun perubahan itu masih jauh dapat dikatakan selesa.
Sedari dulu pengendali haji, ejen, sheikh dan pihak yang ‘menjaga’ Mekah dan Madinah menuai keuntungan berlipat kali ganda di atas tabungan jemaah yang daif.
Ketika ditunda ke Pelabuhan Aden, SS Jeddah dicatat membawa bersama-sama 992 orang penumpang; di mana 778 lelaki, dan 147 wanita termasuk 67 kanak-kanak direkodkan. Kapal itu hanya seberat 993 tan dan dengan 992 penumpang dan 50 anak kapal tentu sekali ia melebihi muatan ditetapkan.
“Puan naik haji atau tidak tahun 1880 itu?”
Air mata Puan nampak bergenang. Dia angguk lesu. Kami semua tahu yang Puan menetap di Madinah setahun sehingga selesai musim haji berikutnya di tahun 1881. Setahun itulah Puan belajar dengan puak Nakhawila sebelum pulang ke Malaya. Kenapa Puan tampak bersedih tiada siapa pun tahu.
Setiap raya korban kami-kami akan duduk mengenang semula cerita-ceriti Puan, moyang kami ini, dan kami akan bersyukur betapa Puan selamat serta sempat mengerjakan haji.
Bukan itu sahaja Puan malah membawa kembali bermacam-macam pusaka dan warisan berharga daripada sheikh haji yang ditumpanginya di Madinah itu.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.