Parti politik dan ramuan mesti ada

Parti politik dan ramuan mesti ada

Adakah ahli PKR sedar akan ciri istimewa parti mereka?

Mohsin Abdullah

Terus terang saya katakan PKR ada ramuan yang betul dalam menggubal teras perjuangan ketika penubuhannya. They got it right when it was formed tetapi wajib dinyatakan penulisan ini bukan pasal bagus atau tak bagusnya PKR.

Penulisan ini juga bukan mengenai orang politik, personaliti mahu pun watak watak utama parti politik secara khusus. Ia mengenai ramuan perlu ada dalam reka bentuk sesebuah parti politik negara ini, atau dalam lain perkataan ciri atau elemen, whichever one you might want to call it.

Ciri utama ialah parti mesti buta warna, buta bangsa dan buta agama. Maksudnya parti yang membuka ruang kepada rakyat semua bangsa dan agama. Ringkasnya parti boleh dianggotai setiap komuniti jika mereka memilih untuk jadi ahli. Lebih tepat parti yang barisan pemimpin dan anggota terdiri daripada rakyat Malaysia walau apa pun bangsa dan agamanya, dan daripada itu guballah ideologi parti.

Berdasarkan itu saya kata tadi PKR got it right walaupun dua pemimpin tertingginya orang Melayu namun bermula jawatan naib presiden ruang ditandingi semua bangsa dan agama. Ia dibuka kepada setiap warga tanpa kira bangsa, suku kaum di Sabah dan Sarawak dan agama. Ini elemen penting untuk menunjukkan dengan jelas ia sebenarnya parti Malaysia.

Imbau sejarah sepintas lalu. Onn Jaafar pengasas Umno, parti politik nasionalis Melayu tahu ramuan itu amat penting. Umum tentu tahu beliau mahu membuka pintu Umno kepada semua bangsa yang duduk di Malaya ketika itu, mahu United Malays National Organisation jadi United Malayan National Organisation. Malangnya Umno menolak cadangan pengasas mereka.

Mungkin Umno punya alasan mengambil kira keadaan serta suasana pada tahun lewat 40-an dan awal 50-an. Umno mahu kekal sebagai parti Melayu tetapi tahu untuk memerintah Malaya kerjasama mesti dijalin dengan parti orang bukan Melayu. Lantas diwujudkan Perikatan gabungan yang turut dianggotai MCA dan MIC. Ertinya tiga parti mewakili tiga bangsa berlainan berganding bahu untuk perintah Malaya. Sejak itu formula begitu digunakan parti politik untuk perintah Malaysia sehingga sekarang. Ada Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Perlu dinyatakan pada lewat 1980-an Umno menerima keahlian semua Bumiputera termasuk Bumiputera bukan Islam tetapi tetap dianggap parti Melayu sehingga dewasa ini. PAS dan Bersatu juga ada sayap khas untuk orang bukan Melayu untuk beri mereka wajah Malaysia, tetapi itu tidak sama dengan orang bukan Melayu diberi ‘keahlian tulen’.

Apa pun saya ulangi apa yang saya tulis untuk FMT tiga tahun lalu. Jika Umno menerima cadangan Onn Jaafar dulu kita tidak akan dilanda ragam dan gelagat parti politik yang berlandaskan kaum, bangsa dan agama seperti yang dialami selama ini. A golden opportunity lost I would say. Sehingga sekarang kita ada parti politik yang ditubuhkan oleh sesuatu bangsa dan agama untuk anggota masyarakat mereka sahaja. Seperti disebut tadi PAS dan Bersatu. Amanah juga. MCA dan MIC masih ada.

Sebenarnya memang ada parti politik yang membuka pintu kepada semua bangsa. DAP antaranya. Konsep ‘Malaysian Malaysia’ amnya pada pandangan saya sesuatu yang bagus untuk negara dan rakyat tetapi disalah tafsir (sama ada dengan sengaja atau sebaliknya) dan dieksploitasi musuh DAP. ‘Malaysian Malaysia’ dilihat bagai dua perkataan kotor terutama oleh orang Melayu. DAP pun sejak kebelakangan seakan menjauhi konsep itu which to me is a pity.

Namun rata-rata DAP menarik minat masyarakat Cina maka ia diibaratkan parti pelbagai kaum dengan majoriti Cina. Bukan salah mereka tetapi itulah yang terjadi. Bagi musuhnya DAP parti Cina untuk memomokkan orang Melayu.

Begitu juga Parti Gerakan Rakyat Malaysia atau Gerakan. Ia ditubuhkan sebagai parti semua bangsa malah Syed Hussein Alatas, seorang Melayu dengan keturunan Arab, antara pengasasnya. Bagaimanapun Gerakan juga hanya menarik minat kebanyakannya orang Cina but not anymore. Sejak akhir 1990-an orang Cina sudah menjauhi. Tidak mahu jadi anggota tidak mahu mengundinya. Gerakan sekarang parti lemah yang duduk dalam PN. Apa pun Gerakan tetap dilihat sebagai a multiracial Chinese party, kata-kata yang lebih untuk mempersenda.

DAP sedang berusaha keras memikat orang Melayu demi mencapai hasrat berwajah truly Malaysia. Setakat ini sedikit sebanyak ada buat in road. Bagi DAP hanya parti multiracial akan diterima rakyat dan menang pilihan raya. Speaking in general terms.

Betul tetapi saya ambil sedutan artikel yang ditulis tiga tahun lalu. Parti multiracial yang dimaksudkan must be driven by Malays sebab Melayu majoriti di negara ini. Oleh itu adalah ‘logic‘ mereka memimpin parti pelbagai bangsa. Suka atau tidak itu realitinya.

Ia mesti ada anggota majoriti Melayu, dipimpin pada peringkat tertinggi oleh pimpinan Melayu, dibantu oleh pemimpin bukan Melayu. Jumlah anggota bukan Melayu juga pada bilangan memberangsangkan.

Ciri itu ada pada PKR seperti dikata tadi. Adakah ahli PKR sedar akan ciri istimewa parti mereka? Entahlah. Namun konsep PKR sememangnya ‘ideal’ untuk Malaysia. Afdal. Saya tekankan ‘konsep’. Sejauh mana ia berkesan dan berjaya dilaksanakan secara adil serta efektif oleh PKR yang ada sekarang ini terpulang kepada pandangan, pendapat dan interpretasi masing-masing.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.