
Tentunya anda seperti saya pernah tengok satu video Mohamad Sabu bercakap pasal orang politik yang kata beliau bila tersepit timbulkan soal perkauman dan mendakwa nanti orang Cina perintah Malaysia.
“Cina sekarang 23%. Kahwin pun malas, beranak pun kurang. Mana Teresa Kok? Bukan menikah lagi. Kita ajak menikah pun dia tak mau. Tian Chua rambut dah putih tak menikah lagi. Anthony Loke tak menikah lagi.
“Kita umur macam saya pun kalau boleh nak tambah lagi. Melayu beranak berlambak tapi takut Cina perintah Malaysia. Bohong atau tidak? Mengapa orang Melayu pergi percaya?”
Begitulah Abang Mat dengan gaya penyampaian tersendiri yang kita semua tahu. Nama yang beliau sebut itu tidak perlu diperjelaskan kerana semua sudah maklum siapa mereka. Hakikatnya apa yang beliau kata itu memang betul.
Untuk sekian lama, bilangan atau jumlah rakyat Malaysia bukan Melayu khususnya orang Cina semakin mengecil manakala orang Melayu bertambah. Perangkaan rasmi membuktikannya.
Ini tentulah berita gembira bagi golongan Melayu yang takut Cina akan perintah Malaysia. Pusat Kajian Cina Malaysia atau Huayan mendapati kelahiran dalam kalangan masyarakat Cina merosot sebanyak 60% antara tahun 2000 dan 2023.
Menurut data terkini Jabatan Perangkaan hanya 7,350 bayi Cina dilahirkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2025, menurun sebanyak 8.6%– jumlah paling rendah dalam sejarah negara.
Oleh itu, orang Melayu yang takut Cina ‘nanti perintah Malaysia’ nak takut apa lagi? Orang Cina dah tak ramai dan semakin tak ramai. Nak perintah macam mana? Yang takut dan bimbang bolehlah ‘happy-happy’ dan rilek-rilek.
Dan ini pula berita gembira untuk golongan yang tidak suka sekolah Cina. Saya kira mereka sudah tahu apa yang saya sampaikan ini. Tapi tak apa. Saya ulangi untuk bikin ‘syiok-syiok’. Saya imbau kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Sim Tze Tzin pada 14 Feb 2024.
Kata Sim pada tahun 2022 ada hanya 40,000 bayi etnik Cina yang dilahirkan manakala jumlah keseluruhan kelahiran di Malaysia ialah 423,123 bayi. Bermakna bayi Cina ialah kurang 10% daripada jumlah bayi baru lahir.
Kata Sim lagi (ingat ini dikatakan tahun lepas ya): “Dalam masa lima tahun, pada 2027 mereka akan memasuki darjah satu di sekolah rendah. Secara nasional terdapat 1,200 SJKC (sekolah jenis kebangsaan Cina) untuk mereka pilih.
Andaikan semua masuk SJKC (yang kemungkinan besarnya tidak kerana ada yang akan ke sekolah swasta atau sekolah kebangsaan) secara purata setiap SJKC akan mendapat 33 pelajar baru sahaja. Purata 33 pelajar baru bermakna hanya satu kelas untuk darjah satu.
Sekarang pun kata Sim banyak SJKC di kawasan luar bandar sudah dikategorikan sebagai SKM atau sekolah kurang murid. Menurut beliau di kawasan bandar pun SJKC berhempas pulas untuk mendapatkan kemasukan pelajar dan dalam masa lima tahun keadaan akan menjadi lebih serius.
“Tiada pelajar tiada sekolah. Adakah SJKC akan bertahan?” tanya Sim.
Keadaan tidak memberangsangkan. Malah muram. Oleh itu, golongan antisekolah Cina (dengan alasan yang mereka sendiri anggap wajar) tidaklah perlu risau. Tidak perlulah fikir cara nak tutup sekolah Cina. Tak perlu bawa rungutan ke mahkamah sekali lagi setelah dulu kalah kes.
Golongan yang takut Cina perintah Malaysia, takut Cina ‘control’ segala macam benda di negara ini, tidak perlu lagi gunakan alasan ‘Cina perintah Malaysia’ untuk memomokkan orang Melayu. Tetapi apabila Cina tidak lagi boleh dijadikan momokan- adakah momokan baru akan ‘dicungkil’ daripada kelompok Melayu sendiri untuk terus memomokkan orang Melayu?
Ooo…seperkara lagi. Hampir lupa. Huayan yang saya sebut tadi sedang memulakan satu kajian bagi mencari penyelesaian terhadap penurunan kelahiran dalam kalangan masyarakat Cina.
Dinamakan ‘kajian populasi Cina’ ia projek tiga tahun yang dibahagikan kepada tiga fasa merangkumi sembilan subtopik.
Tujuannya untuk membangunkan satu model populasi masyarakat Cina bagi memahami lebih mendalam cabaran kepada penurunan kelahiran.
Kata Chang Yun Fah, pengerusi Huayan, usaha berkenaan juga akan membolehkan mereka mencadangkan penyelesaian yang lebih berkesan.
Ia juga membantu pemimpin komuniti Cina–baik dari segi politik mahupun sosial – untuk memahami isu berkaitan populasi sekali gus membolehkan mereka merancang dan menggubal strategi lebih awal.
Sama ada mereka akan berjaya atau tidak hanya masa akan menentukan. Apa pun bagi golongan takut Cina perintah Malaysia dan golongan tidak suka sekolah Cina, kajian yang dijalankan ini bukan berita gembira.
Adakah hasil kajian bagi membolehkan Cina perintah Malaysia? Secara unggul dan bersendirian? Saya kata tidak.
Adakah hasilnya akan memberi talian hayat kepada sekolah Cina? Saya rasa ya. Apa lagi semakin ramai orang Melayu suka anak mereka belajar di sekolah Cina.
Walau apa pun hasil kajian realitinya ialah jumlah kelahiran bayi Cina tidak akan melebihi jumlah kelahiran bayi Melayu.
Melainkan orang Melayu secara tiba-tiba tidak mahu melahirkan anak. Itu mustahil namanya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.