
Berdasarkan tinjauan khas dalam aplikasi melibatkan 929 responden — kebanyakannya daripada keluarga Melayu kelas pertengahan — kajian itu mendapati 69% responden menyatakan prestasi akademik sebagai sebab utama memilih SJKC.
“Ibu bapa menilai ‘reputasi akademik’ sebagai faktor paling penting untuk memilih sekolah untuk anak mereka, manakala faktor kurang penting ialah bahasa pengantar,” kata penganalisis politik dan felo pelawat, James Chai, yang merupakan penulis laporan tersebut.
“Faktor lokasi dan disiplin juga lebih diutamakan berbanding kemudahan sekolah,” katanya.
Chai berkata, walaupun SJKC hanya menawarkan kemudahan asas, dua pertiga ibu bapa masih lebih memilih sekolah itu berbanding sekolah kebangsaan.
“Pilihan ini mungkin menunjukkan persepsi yang semakin merosot terhadap kualiti akademik sekolah kebangsaan dalam kalangan ibu bapa Melayu.”
Kajian itu turut mendapati ramai ibu bapa akan memilih sekolah kebangsaan sekiranya prestasi akademiknya lebih baik berbanding SJKC, “walaupun SJKC mungkin mempunyai tahap disiplin lebih baik, kemudahan lebih lengkap, dan lebih dekat dengan rumah”.
Chai berkata peralihan pilihan ini mencerminkan peningkatan ketara jumlah pelajar bukan Cina di SJKC, yang dilaporkan meningkat daripada hanya 3%-6% pada 1990-an kepada hampir 20% menjelang 2020.
Pada Februari lalu, sebuah SJKC di Arau, Perlis, menarik perhatian apabila semua murid Tahun Satu yang mendaftar terdiri daripada bukan kaum Cina.

Chai berkata, memandangkan jumlah pelajar Cina terus menurun akibat perubahan demografi dan pertumbuhan sekolah antarabangsa swasta, banyak SJKC kini menyesuaikan diri untuk kekal relevan.
Penyesuaian itu termasuk penyediaan makanan halal, kelas pendidikan Islam dan komunikasi dwibahasa bagi memenuhi keperluan pelajar yang lebih pelbagai, katanya.
Dengan lebih ramai pelajar Melayu di SJKC, Chai menjangkakan gesaan untuk memansuhkan sekolah vernakular mungkin akan hilang momentum, dengan reputasi akademik SJKC menjadi pelindung utama daripada kritikan.
“Bagaimanapun, ini membawa kepada persoalan besar bagi masyarakat Cina. Sama ada usaha mengekalkan sekolah vernakular dengan mengorbankan misi budaya terasnya merupakan satu kemenangan sebenar atau kerugian yang tersembunyi,” katanya.
Laporan penuh ISEAS bertajuk ‘The Malay Turn to Vernacular Chinese Schools in Malaysia: Causes and Consequences’ diterbitkan hari ini.