
Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berkata, langkah itu perlu bagi meredakan kebimbangan dalam masyarakat Cina berhubung ketiadaan pecahan peruntukan bagi SJKC selepas Belanjawan 2026 dibentangkan.
Katanya, sudah tentu ada peruntukan untuk SJKC seperti tahun-tahun sebelum ini, namun apabila tidak diumumkan seperti lazimnya, ia menimbulkan perbincangan hangat di media sosial.
“Masyarakat Cina sangat prihatin dengan isu pendidikan kerana terdapat kepercayaan dan budaya,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.
“Untuk kebanyakan tahun sebelum ini, peruntukan penyelenggaraan sekolah diumumkan mengikut jenis sekolah termasuk SJKC, sama ada semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Harapan (PH).
“Malah belanjawan 2022 yang dibentangkan oleh Perikatan Nasional (PN) juga ada pecahan. Untuk belanjawan ini, tiada pecahan dibuat.”
Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menerima jumlah peruntukan yang lebih besar, iaitu RM66.2 bilion tahun depan berbanding RM64.2 bilion pada tahun ini.
Daripada jumlah itu, katanya, hampir RM2 bilion disediakan bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif, khususnya di Sabah Sarawak, selain membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah.
Ini termasuk membaik pulih kemudahan murid dan bilik guru susulan kejayaan membaik pulih tandas, kantin, dan surau dalam masa singkat, tambahnya.