
Pada halaman awal buku ini, Kalam menulis beberapa bait nukilan, yang salah satunya berbunyi begini:
“Jika dikau sa-orang penyair
yang kekeringan bahan-chipta
pergilah mengembara,
kelak dikau akan kekeringan tinta.”
Buku ini sebetulnya tidaklah membosankan untuk murid darjah enam seperti saya. Ia catatan kembara Kalam Hamidi, pengarang era terdahulu selepas Perang Dunia Kedua, mengambil jalan darat untuk ke London. Sebagai remaja yang kelahapan buku, saya kira memegang apa sahaja bacaan; khusus yang aneh-aneh begini, tentu boleh menumbuhkan banyak khayal saya yang sedang kerasukan.
Sebenarnya pada waktu itu, hampir 40 tahun yang lampau; keasyikan terhadap kandungan buku Kalam Hamidi ini adalah mengenai dunia yang saya tahu saya takkan dapat jejaki. Misalnya saya tahu saya tidak akan sama sekali tiba di London, Iran dan Turki. Saya masih belasan tahun tatkala itu. Belum ada cita-cita untuk mengelilingi dunia.
Kalam Hamidi dan temannya, kalau tidak silap bernama Osman tiba di Iran yang tatkala itu merupakan satu wilayah teramat misterius. Apa yang menarik ialah Kalam dan kawannya itu menumpang lori dengan hanya menahan mereka di tebing jalan, untuk tiba ke Tehran, dari Pakistan. Mereka juga melakukan hal yang sedemikian sama sehinggalah tiba ke Ankara, dan Istanbul. Mujurlah tidak ada yang mudarat berlaku sepanjang permusafiran.
Sebagai anak remaja, membaca pengalaman orang menumpang lori demikian tentulah serasa mengecutkan perut. Apatah pula Kalam Hamidi nanti akan mengharapkan makanan daripada pelbagai orang termasuklah pelacur. Iran tatkala itu masih belum diperintah oleh kaum Ayatullah. Terang-terang Kalam misalnya mencatat bagaimana di dinding-dinding rumah pelacuran ada “gambar yang chantek berwarna warni Raja Shah Iran dengan Permaisurinya Farah Deba yang sedang memangku Putera Mahkotanya.”
Untuk beroleh hidangan, Kalam akan menjual modal bahawa dia seorang Muslim dan cukup dengan itu biasanya dia dan teman dapat mengalas perut dengan roti. Apa yang lebih menggiurkan ialah Kalam juga tiba di bandar Qom, sebuah bandaraya yang hari ini adalah pusat pengajian mazhab Syiah. Di sinilah Kalam mencatitkan kehairanannya kepada mazhab Syiah yang nampak begitu asing buat beliau. Satu hal yang agak jelas ialah Kalam tahu rakyat Iran itu bukanlah penganut Qadiani (Ahmadiyyah), tidak pula ateis dan tentu sahaja bukan Sunni. Semua itu membawa kepada satu lagi kepelikan buat beliau iaitu, “aneh-nya ketuhanan mereka tetap satu juga iaitu Allah subhanahu wataala”.
Tentu sahaja Iran dan identiti negara itu terungkap setelah tahun 1979 dengan berlakunya Revolusi Islam.
Apabila tiba di Istanbul, Kalam Hamidi banyak mencatit bagaimana orang Turki gemar meminum minuman keras, “orang di kedai makan itu saya lihat umumnya sedang mengadap minuman keras warna puteh dan botol-nya pun warna puteh saperti botol ice-cream soda.”
Jika di Iran tadi Kalam Hamidi memancing umpan sebagai seorang Islam untuk beroleh makanan, di Turki modal beliau tidak bukan ialah menyuguhkan kenyataan bahawa ada pemimpin terkemuka di Malaysia itu ada darah Turki, dan namanya Onn Jaafar. Di kedai yang penuh para pemabuk, mereka juga bersilat dan berbohong bahawa itu adalah tarian Melayu asli.
Pengalaman Kalam Hamidi itu menimbulkan macam-macam imaginasi liar dalam cepu kepala ini. Saya membayangkan untuk berada di Turki, kemudian di Iran menumpang rumah orang asing dan bergaul dengan masyarakat negara tersebut demi memahami kepercayaan dan kebudayaan mereka.
Pada satu bahagian ketika Kalam Hamidi dan temannya tiba di Iran, beliau menuliskan pula, “…bahawa bakal sasterawan dan sasterawanis janganlah mengunchikan pintu dalam bilek saorang diri untok menchari atau mendapatkan ilham, kelak yang dapat buah ilham sa-sempit kamar, hendaknya sasterawan dan sasterawanis terjunlah ka-tengah2 kenchah masharakat yang hirok pikok dan bertebaranlah dikau mengembara ka-satiap pelusok tanah ayer dan bumi tuhan.”
Beberapa tahun kemudian, setelah saya sendiri menjadi seorang pengarang, saya menemukan kembali buku ini dan membacanya. Tentu sahajalah sudut pandang saya sudah berbeza. Kali ini saya membaca sebagai seorang yang celik politik, ilmu hubungan antarabangsa, dan mengetahui perubahan yang sedang didepani oleh kedua-dua buah negara Islam tersebut. Turki semakin Islamik, Iran sudah mengusir Barat lantas perenggan dari buku Kalam Hamidi di atas mengusik memori kekal dalam otak ini.
Setelah saya kelelahan menulis novel ‘1515’ dalam tahun 2002, saya ‘terperangkap’ menulis novel bersiri ‘Tunggu Teduh Dulu’ di ruangan agama akhbar Utusan Malaysia. Dua keterperukan ini membuatkan saya semak kepala, terkepung dan memerlukan jalan keluar pengkaryaan.
Saya perlu untuk bernafas seperti yang dianjurkan oleh Kalam Hamidi tersebut. Saya tahu untuk beroleh ilham karya baharu, saya perlu mengambil jalan yang disebut-sebut Kalam ini.
Keinginan saya untuk ‘berjalan’ menjadi-jadi apabila saya membaca nukilan Johan Jaafar, bahawa sastera perjalanan kurang diterokai. Kata beliau, “…sebenarnya sastera perjalanan merupakan genre yang terabai dalam sastera kita. Orang Melayu ada peribahasa ‘jauh perjalanan luas pemandangan’. Golongan penulis terutamanya harus banyak berjalan. Mereka tidak harus duduk dalam kokun masyarakat mereka, sebaliknya meninjau keluar melihat dan memahami kebudayaan orang lain.”
Pada waktu itu, di tahun 2003, Johan Jaafar menyebut kali terakhir projek sastera perjalanan diterbitkan ialah menerusi Warkah dari Eropah oleh A Samad Said, “Malangnya itulah kali pertama dan terakhir DBP menerbitkan sebuah penerbitan yang jelas nampaknya lain daripada yang lain” (dari Catatan Perjalanan Sebagai Bahan Sastera, Johan Jaafar, Dewan Sastera, Julai 2003).
Dapatan di atas cukup kuat mendesak saya. Berbekalkan wang kemenangan dari Sayembara Hadiah Sastera Utusan untuk karya ‘1515’, dan simpanan dari penulisan novel ‘Tunggu Teduh Dulu’, saya pun berangkat ke Turki pada tahun 2003, kekal di sana sehingga menganjur ke 2004; dan beberapa tahun kemudian saya mencuba pula bermusafir ke Iran.
Kembara di Turki itu berbuah lebat. Alhamdulillah. Saya menulis ‘1511H Kombat’, ‘Advencer Si Peniup Ney’, dan ‘Surat-Surat Perempuan Johor’; novel-novel saya yang menang hadiah dan masih dibaca dan diterbitkan kembali hari ini.
Lebih dua dekad kemudian, setelah saya melakukan perjalanan ke Turki ini, saya akhirnya berkesempatan untuk menerbitkan pula catatan perjalanan saya dengan judul ‘Hadi, Hadi Anadolu’. Tentu ia tidak ‘sedahsyat’ buku Kalam Hamidi yang saya sebut di awal.
Pun, moga-moga kehadiran buku sastera perjalanan saya ini bolehlah mengisi vakum yang disebut-sebut oleh Johan Jaafar lama dahulu.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.