Anwar tunjuk sisi tidak disukai pembangkang

Anwar tunjuk sisi tidak disukai pembangkang

Mereka harapkan untuk beliau ‘koyak’ tapi perdana menteri enggan relakan diri tunduk kepada provokasi.

Dari hari Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada 24 Nov 2022, cakap-cakap untuk kerajaannya ditumbangkan – secara demokratik atau sebaliknya – tidak pernah berhenti.

Hasrat pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya dengan menubuhkan kerajaan pintu belakang atau tebuk atap sudah menjadi bualan lebih setahun lamanya sambil mereka menguji-uji kesepaduan kerajaan perpaduan pimpinannya dengan pelbagai bentuk provokasi, cerita rekaan dan adu-domba dengan tujuan menimbulkan keretakan dan pergeseran dalam kerjasama 14 parti politik agar kesudahannya terburai.

Apa yang tidak djangkakan pembangkang ialah kerajaan bukan saja tidak dilemahkan, sebaliknya bertambah kukuh apabila lima daripada kalangan mereka sendiri menyuarakan sokongan terbuka kepada kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu. Belumpun lama reda keghairahan daripada tindakan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengisytiharkan keluar daripada blok kerajaan pada 10 Sept 2023, tekanan kemudian berbalik kepada Perikatan Nasional (PN).

Dengan majoriti dimiliki Anwar berkurangan satu daripada garis 2/3 sebanyak 148 kerusi ketika itu, pembangkang menjangkakan – atau sekurang-kurangnya menguar-uarkan ketika itu – ia adalah permulaan kepada kejatuhan kerajaan perpaduan. Betapa mereka tersilap besar dan betapa mereka telah merendah-rendahkan kemampuan Anwar.

Sindiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu bahawa usaha politik langkah-melangkah atau kerajaan pintu belakang adalah kepakaran Anwar ketika mengulas mengenai Langkah Dubai, boleh juga dilihat dari sudut positif. Sambil mengingatkan semua pihak mengenai gerakan sama pada 16 Sept 2008 serta Langkah Kajang sekitar 2013-2014 yang dikaitkan dengan Anwar ketika mengetuai pembangkang sebelum ini, ia menyerlahkan fakta bahawa perdana menteri sebenarnya jauh lebih berpengalaman dalam hal itu.

Di kerusi perdana menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, Anwar juga memiliki segala instrumen kerajaan untuknya mendapat apa juga maklumat mengenai sebarang rancangan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan dari peringkat ia mula diilhamkan tanpa perlu menunggu hebahan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang menerbitkan gempar terhadap Langkah Dubai 29 Dis lalu. Berkaitan maklumat seumpamanya, perdana menteri hanya perlu arahkan dan akan dapat semuanya. Kalaupun ada sedikit kerja di pihaknya, ia hanyalah untuk memastikan kesahihannya.

Lantas apabila dilaporkan kelmarin bahawa Anwar menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap soalan wartawan kepada dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor konon gabungan pembangkang itu sudah mendapat cukup jumlah untuk menumbangkan kerajaannya, tiada apa pun yang harus dihairankan. Anwar harus sudah awal-awal lagi dapat menghidu satu lagi pembohongan Sanusi daripada membiarkan tidur malamnya terganggu oleh perkara itu.

Sama seperti reaksinya ketika terdedahnya mengenai Langkah Dubai sebelum ini apabila beliau menegaskan ia tidak langsung memberi kesan kepada pentadbirannya, perdana menteri menyerlahkan semula sisi dirinya yang tidak mudah goyah selama berpengalaman menjadi ketua pembangkang pada masa lalu.

Diserang dan diasak bertalu-talu pun, beliau masih boleh memperagakan ketenangan sebelum mengambil gilirannya untuk menyerang balas. Itu Anwar yang semua orang kenal – kental dan tidak mudah “koyak” – sisi sebenarnya yang tidak disukai pembangkang hari ini. Mereka mengharapkan beliau akan mudah melatah dan seperti kata sesetengah orang politik, meroyan. Tapi mereka terlupa yang Anwar sudah berpolitik lebih lama daripada sebilangan besar daripada mereka.

Lagipun, berbalik kepada dakwaan Sanusi itu, apalah yang nak ditakutkan dengan pernyataan “cukup jumlah” yang lebih dahulu dikitar berulang-ulang oleh bos besarnya Hadi Awang sehingga menjadi bahan persendaan. Mungkin itu juga yang mendorong presiden PAS itu untuk baru-baru ini menyatakan partinya sedia menunggu perubahan kerajaan melalui “proses demokrasi dan raja berperlembagaan” – satu perubahan 360 darjah yang patut menjadi pegangan dari awal.

“Saya hanya mahu bekerja, saya tak perlu komen. Saya akan jawab apabila ada isu-isu besar,” kata Anwar pada pelancaran satu simposium di Sepang pada Isnin. Jika tidak difahami Sanusi atau sengaja enggan dimengertikannya, maksud Anwar itu ialah dakwaan terbarunya konon PN sudah menghimpun secukup akuan berkanun dan hanya menanti hari untuk direalisasikan bagi menukar kerajaan bukan pun satu isu penting yang wajar diberi perhatian.

Digelar Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebagai badut, orang pun tahu Sanusi kesudahannya akan mendakwa beliau sekadar melawak mengikut cara orang Kedah jika apa yang didakwanya itu tidak menjadi. Atau seperti apa yang didakwanya Langkah Dubai hanyalah sebagai “dummy” sedangkan langkah sebenar adalah berbeza. Barangkali juga Sanusi adalah “dummy” sebenar. Terpulang.

Sisi berbeza Anwar ini ketika sudah bergelar perdana menteri mungkin kali pertama ditunjukkannya ketika bertikam lidah dengan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin sewaktu sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 19 Sept tahun lalu. Ketika menegaskan DNAA Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi adalah keputusan peguam negara mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan beliau menafikan campur tangan, Anwar turut memetik Radzi sebagai anggota pentadbiran terdahulu yang turut pernah membuat keputusan DNAA dalam beberapa kes terdahulu.

Diteriak dan ditempikkan oleh Radzi supaya menarik balik kenyataan itu, Anwar menyerlahkan ketegasannya sehingga berlaku pertikaman lidah antara pihak pembangkang dan kerajaan berlarutan kira-kira setengah jam sebelum Radzi akhirnya diarahkan speaker meninggalkan Dewan. Di sebalik banyak berdiplomasi selepas mengambil alih teraju kerajaan, Anwar sesekali menunjukkan kekentalan dan kegarangannya ketika menjadi ketua pembangkang belum lekang sepenuhnya, lebih-lebih lagi apabila keadaan menuntutnya mengulangi berbuat demikian.

Konon juga pembangkang berura-ura mahu menjayakan langkah menukar kerajaan sebelum tempoh Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong tamat pada 31 Jan. Soalan yang patut ditanya ialah tidakkah ini menunjukkan kurang rasa hormat pembangkang terhadap baginda yang pernah menitahkan harapan agar Anwar adalah perdana menteri keempat dan terakhir bawah pemerintahan baginda?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.