Mata-mata yang memandang serong

Mata-mata yang memandang serong

Dia barangkali tidak menyangka kutu selebet seperti saya sudah ke Mekah agaknya.

Itulah, suatu hari pada 2018 – pesawat yang kami naiki dari Madrid mendarat sebentar di lapangan terbang Amman, Jordan untuk transit sebelum ke Bangkok dan seterusnya ke destinasi terakhir, Kuala Lumpur. Kesempatan ini saya gunakan untuk bangun dari tempat duduk dan melakukan sedikit senaman bagi membetulkan lenguh-lenguh badan.

Beberapa penumpang dari Amman pun masuk. Dalam ramai-ramai yang masuk, saya melihat ada sekumpulan penumpang dengan pakaian serba putih sedang mencari tempat duduk. Muka semuanya seperti muka saya. Muka rumpun Melayu. Kalau tak dari Malaysia, mesti dari negara-negara jiran. Sekali pandang saya dapat mengagak mereka semua baru selesai mengerjakan umrah di Mekah. Seorang lelaki, saya kira dia ketua rombongan kelihatan agak sibuk membantu ahli kumpulannya mendapatkan tempat duduk sambil mulut dia riuh seakan berceramah kepada mereka. Sebaik saya dan ketua rombongan itu bertentang mata, saya berikan senyuman kepadanya.

“Dari mana, pak?” dia bertanya saya. Nah, dari loghatnya saya dapat menebak dari negara mana asal dia.

“Baru pulang dari mengembara di Eropah dan mahu pulang ke Malaysia,” jawab saya dengan senang.

“Mengapa mesti ke Eropah, pak? Mengapa tidak ke bumi para anbia seperti di tanah Arab?” tanya dia dengan dahi berkerut.

Ngiingggg! Telinga saya berdesing. Darah saya menyirap. Saya seakan nampak matanya mengecil dengan bibir mencebik seperti mengejek saya. Mungkin pertanyaannya jujur tetapi nadanya seolah-olah seperti saya bersalah dan tidak islamik nampaknya kerana memilih untuk menghabiskan duit di Barat. Itu yang saya rasa.

“Atau seeloknya pergi ke Mekah dahulu,” sambung dia lagi. Kan? Benarlah sangkaan saya yang mana mengikut penilaian dia, saya seharusnya membuat seperti yang dia sarankan. Ada duit, apa ke halnya pergi negara Barat? Bukankah lebih baik ke Mekah atau mencari keberkatan mengembara ke bumi kelahiran nabi-nabi?

Zrappp! Nasihat dia agar ke Mekah terlebih dahulu bak mencurah petrol ke dalam hati saya yang memang sedang marak terbakar. Dia tak tahukah saya ini orang yang cepat panas, pantas melawan kalau tidak puas hati? Dia tak tahukah yang menyibuk-nyibuk hal ibadah atau kewarakan orang lain itu kepantangan saya? Ini mengingatkan saya kepada seorang kawan saya dahulu ketika saya bersungut betapa Madinah pun hari ini sudah ada Starbucks, dia yang baharu dua bulan pulang dari sana dan bergelar haji menyindir saya, “komplen banyak tapi awak dah sampai ke Mekah ke, weh?”

Mengapa ada orang macam ini? Mengapa mesti menyibuk dan berasa diri dia lebih bagus dan orang lain lebih ‘hampeh’ daripada diri dia? Perlukah kita nak cerita semuanya pada orang apa amal ibadat kita? Saya bukan jenis hendak tayang gambar depan Kaabah, atau menulis di medsos ‘done puasa sunat’ atau ‘done solat dhuha’. Bukanlah saya kondem orang yang berbuat sedemikian. Nak buat, buatlah kita tak ada hal. Awak punya sukalah tapi janganlah ganggu orang lain boleh tak? Jangan kacau orang yang tak suka amal ibadatnya diintai-intai, macam saya. Ibadah kita itu antara kita dengan tuhanlah, buat apa nak pamer-pamerkan?

Ada antara kita memahami bahawa makna ‘innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi rabbil’alamin’ itu ialah segala amal perbuatan kita dilakukan semata-semata kerana Allah bukan untuk ditunjukkan. Ini bertujuan menjaga diri sendiri agar tak berasa ujub dan riak. Kalau orang lain nak tunjuk pada orang lain dengan niat yang baik tanpa ada sifat mazmumah, okey saja. Teruskan! Ada orang tak macam tu. Kita manusia tak semuanya sama dan tak boleh dimestikan untuk menjadi sama.

Si ketua rombongan umrah itu barangkali melihat rambut saya panjang dan seluar saya koyak-koyak maka orang seperti saya memang suka ke Barat agaknya. Aduh! Saya ingin berhujah kepadanya bahawa di Eropah saya melawat kesan dan bekas kota yang pernah gemilang di era kebangkitan Islam seperti di Andalusia dan serta beberapa daerah lagi. Di Paris saya pernah diherdik oleh seorang wanita bertudung walhal saya hanya mahu bertanyakan arah jalan. Pada ketika yang lainnya pula saya dan isteri dibantu baik oleh saudara muslim dari Maghribi. Ada ketika kita jumpa manusia bukan seagama dan sebangsa dengan kita yang baik, adakalanya bertemu yang jahat. Ada waktunya kita dibantu oleh saudara seagama yang baik tetapi pada ketika yang lainnya saudara seagama kita pula yang menganiaya kita.

Di beberapa negara di Eropah dan juga di Amerika Syarikat yang pernah saya pergi, kebaikan manusia-manusia yang pernah membantu saya membuatkan saya berasa kagum kerana manusia yang baik akan melihat manusia lain tanpa prasangka. Mereka menjadi buta pada warna kulit dan agama kerana mereka melihat manusia semuanya sama. Sifat kemanusiaan melangkaui warna kulit dan anutan kepercayaan. Bayangkan ada yang menawarkan diri untuk membantu mengangkat beg kita sehingga kita berasa sangsi ikhlaskah mereka ini sedangkan mereka memang benar-benar ikhlas. Dek kerana di tempat kita jarang berlaku begitu, maka kita akan berasa was-was – mesti ada udang di sebalik batu. Mesti dia nak ‘pau’ kita. Ada yang apabila kita bertanyakan jalan, mereka begitu bersungguh membantu sampaikan sanggup menghantar kita ke tempat yang kita hendak pergi. Kita pula yang cuak sampai nak beri upah tetapi itu membuatkan mereka pula yang berasa tak selesa.

Orang tua-tua ada berkata jauh perjalanan luas pemandangan. Jumpa ramai orang akan peroleh banyak pengalaman. Katak bawah tempurung tidak akan merasai pengalaman-pengalaman lain selain gelap dan sempit. Lain padang, lain belalang. Berbeza budaya, berbeza pegangan. Itu yang kita mahu tengok. Saya ingin bersurah kepada lelaki ketua rombongan itu betapa di dalam Al-Quran juga Allah menggalakkan kita mengembara untuk melihat dunia. Surah Al-An’am ayat 11 menyarankan kita mengembara. Surah An-Naml ayat 69 juga. Surah Al-Mulk, Surah Taha juga ada. Allah tidak menghadkan kita hanya pergi ke negara Arab atau bumi anbia sahaja tetapi ke serata dunia untuk melihat kesan yang baik atau juga buruk yang ditinggalkan oleh manusia dalam ketamadunan terdahulu. Takkan itupun dia tak tahu?

Saya ingin memetik kata-kata Syeikh Muhammad Abduh ketika menjelajah Eropah, “Aku melihat Islam di Eropah, tapi tidak melihat Muslim. Dan aku melihat Muslim di Mesir/negara Arab tetapi aku tidak melihat Islam”.

Saya ingin ‘belasah’ dia dengan hujah-hujah saya termasuklah menasihatkan dia bahawa ibadah yang kita buat sewajarnya biarlah untuk menjadikan diri kita hari ini lebih baik daripada diri kita sendiri sebelum ini – bukannya menjadikan diri kita lebih bagus daripada orang lain. Tetapi bila dia ulang lagi bait ‘seharusnya ke Mekah dahulu’ saya pun secara spontan menjawab, “saya dah pergi ke Mekah 10 tahun lalu.” Mendengarkan jawaban tersebut dia langsung diam tak berkutik. Dia barangkali tidak menyangka kutu selebet seperti saya sudah ke Mekah agaknya. Perlahan-lahan dia menyisihkan diri dari saya untuk menyertai kumpulannya semula.

“Ya, tapi seeloknya kembara ke bumi anbia dulu,” katanya lagi. Aik! Dalam pada nak beredar pun dia masih sempat menembak saya lagi walaupun kali ini bunyi tembakan dia lembik. Kecewa barangkali kerana tidak dapat sekolahkan saya. Saya lagilah kecewa sebab dengan hanya satu jawaban sahaja membuat dia terus berlalu tanpa sempat saya membantai panjang-lebar menggunakan hujah-hujah yang saya nukilkan tadi. Isy…geram betul!

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.